Isu provokasi perlu ditangani secara bersama

Oleh Fadzrie Hazis 16 April 2019 1368
 Isu provokasi perlu ditangani secara bersama
Aksi saingan Liga Super minggu lalu sedikit dicemari dengan insiden pemain Selangor, Nurridzuan Abu Hassan menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong Perak pada 12 April lalu.

Nurridzuan kini kemungkinan bakal dikenakan tindakan hukuman tambahan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), selain hukuman pergantungan satu perlawanan selepas menerima layangan kad kuning kedua ketika aksi berdepan Perak itu.

Tidak dinafikan bukan mudah menangani provokasi penyokong pasukan lawan namun sebagai pemain profesional, Nurridzuan tidak boleh terlalu mengikut emosinya ketika itu.

Apa pun, penulis tetap hargai keberanian Nurridzuan untuk melakukan permohonan maaf terbuka menerusi media arus perdana kepada peminat Perak di atas tindakannya.

Penulis amat berharap, insiden tersebut akan terus mematangkan Nurridzuan sebagai pemain profesional tempatan berjaya yang mewarnai  kancah bola sepak tempatan.

Bagi penulis pemain kelahiran Perak ini mempunyai kualiti mencukupi untuk membarisi skuad senior kebangsaan namun, dia perlu terlebih dahulu menunjukkan kematangannya di atas padang dalam menangani tekanan untuk mendapat panggilan daripada  Tan Cheng Hoe.

Mungkin Nurridzuan wajar mencontohi bagaimana bintang Liverpool dari Mesir, Mohammad Salah menangani ejekan berbaur perkauman sebelum aksi berdepan Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris minggu lalu.

Sebelum aksi Liverpool-Chelsea berlangsung, terdapat segelintir penyokong Chelsea menggelar Salah seorang pengebom menerusi beberapa rakaman video yang tular di laman sosial.

Mereka menggelar Salah pengebom, seolah menyamakannya sebagai seorang pengganas hanya kerana dia seorang penganut agama Islam, jadi bayangkan betapa sukarnya situasi bintang Mesir itu sebelum aksi berdepan Chelsea.

Namun, Salah tenang beraksi malah turut menunjangi kemenangan 2-0 Liverpool ke atas Chelsea dengan meraih gol kedua dan lebih menarik, rakan sepasukan yang juga beragama Islam, Sadio Mane turut menjaringkan gol.

Salah jelas membuktikan, cara berkesan menangani provokasi penyokong lawan adalah dengan menjelmakan aksi terbaik buat pasukan dan situasi seperti ini  wajar dicontohi pemain tempatan kita.

Sebenarnya, terdapat juga provokasi penyokong lawan di liga  Eropah lain yang kadang-kala ada yang lebih parah daripada yang dialami Salah, bahkan jauh lebih mencabar daripada situasi yang dilalui Nurridzuan.

Selain pemain, mungkin pengurusan pasukan kelab dan negeri juga, wajar mengambil pendekatan terbaik dalam mematangkan penyokong mereka dalam situasi seperti ini.

Dalam hal ini, penulis perlu akui peminat Johor Darul Takzim (JDT) menarik perhatian penulis kerana mereka tidak melakukan provokasi kepada bekas pemain mereka apabila bertemu di padang.

Sebaliknya, mereka memberi penghormatan kepada bekas pemain mereka apabila JDT berdepan pasukan baru yang diwakili bekas pemain mereka itu.

Keitka aksi PJ City dan JDT di Stadium Petaling Jaya baru-baru ini, penulis menyaksikan sendiri bagaimana peminat Harimau Selatan tetap menghargai bekas penyerang mereka, Safee Sali selepas pelawanan.

Ini ada contoh tebaik yang wajar diikuti peminat tempatan yang lain dalam kita sama-sama berusaha membawa tahap bola sepak negara ke aras yang lebih tinggi.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen