Istanbul dilawati, ditakluki lagi

Oleh Hishamuddin Aun 15 August 2019 599
Istanbul dilawati, ditakluki lagi
Kota Istanbul akan sentiasa memenuhi ruang istimewa dalam hati penyokong Liverpool untuk mengimbau kenangan manis masa silam sambil kini mengecapi kejayaan baru.

Bekas ibu negara Turki itu akan sentiasa menggamit memori terindah yang menabalkan The Reds selaku juara Piala Eropah buat kali kelima di samping Piala Super Eropah buat kali keempat awal pagi tadi.

Liverpool, ihsan kemenangan 5-4 dalam penentuan sepakan penalti ke atas Chelsea selepas terikat 2-2 hingga akhir masa tambahan, kini hanya kurang satu untuk menyamai pencapaian Barcelona dan AC Milan.



The Reds kini menyamai Real Madrid dengan meraih trofi itu empat kali – selepas kejayaan pada 1977, 2001 dan 2005 di samping finalis pada 1978 dan 1984 -- dalam perebutan yang menemukan pemenang Liga Juara-Juara itu dengan pemenang Liga Europa.

Menepati fesyen kemenangan pada 25 Mei 2005 apabila skuad bimbingan Rafa Benitez ketika itu bangkit daripada ketinggalan 0-3 untuk menewaskan AC Milan dalam penentuan sepakan penalti dalam satu pertembungan epik, kunjungan semula ke Istanbul kali ini sedikit berlainan.

Menanti mereka adalah lawan senegara – kali pertama dalam sejarah piala itu – di samping Liverpool datang selaku juara enam kali Piala Eropah.

Dalam pada itu, jalan ceritanya hampir serupa – ketinggalan pada mulanya kepada gol Olivier Giroud untuk kemudiannya terikat 2-2 dalam masa tambahan dan lebih bertuah dalam penentuan sepakan penalti apabila penjaga gol, Adrian, diangkat sebagai wira dengan menampan sepakan Tammy Abraham.

Menjelang pertembungan itu, pengurus, Jurgen Klopp, sendiri tidak dapat mengelak daripada mengimbau kenangan pada 2005 itu sambil mengharapkan ia menjadi inspirasi tambahan buat pemainnya daripada generasi berbeza.

“Saya tahu betapa istimewanya Istanbul kepada setiap penyokong Liverpool. Tiada siapa akan melupai 2005 tapi kami adalah kumpulan berbeza, kami tidak sama – kami adalah pasukan 2019/20, yang cukup bagus juga,” katanya kepada akhbar Liverpool Echo.



Sebelumnya, malam gemilang di Madrid pada 1 Jun lalu apabila Liverpool menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali keenam, telah membentuk satu generasi baru penyokong The Reds di samping mengesahkan mereka sudah kembali ke dalam kelompok elit semula.

Cuma, berbanding kejayaan pada 2005 yang berlangsung di Stadium Olimpik Ataturk, perlawanan awal pagi tadi ialah di Vodafone Park – gelanggang rasmi berkapasiti 41,000 tempat duduk yang dibuka pada April 2016 buat kelab Besiktas.



Namun, berbanding Chelsea, ia lebih dirasakan sebagai rumah kedua Liverpool dengan ramainya penyokong mereka di negara berkenaan.

“Kini, kami telah menjadikannya (Vodafone Park ) istimewa buat kumpulan pemain ini pula,” tambah Klopp.

Buat pengurus berbangsa Jerman itu, seperti dilaporkan oleh Forbes, kejayaan terbaru itu memahatkannya namanya sebaris dengan pengurus legenda Liverpool seperti yang tergambar dalam satu kain rentang besar di bahagian Spion Kop di Anfield.

Musim lalu, kain rentang itu menampilkan potret lima pengurus terhebat The Reds, dengan tiga daripada mereka pernah menjulang Piala Eropah/Liga Juara-Juara.

Bill Shankly adalah potret pertama, dituruti Bob Paisley, Joe Fagan, Kenny Dalglish dan Rafa Benitez. Potret Klopp seiring dengan mereka harus amat bertepatan.

Lagipun, Liverpool kekal kelab Inggeris paling berjaya di peringkat Eropah – tiga trofi mengatasi pesaing terdekat, Manchester United – dengan hanya Real Madrid dan Milan telah memenanginya lebih kerap.


 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen