Ironi tiga penggempur di England

Oleh Nafis Abdullah 29 June 2019 3390
Ironi tiga penggempur di England
Sejak kembali ke Crystal Palace secara tetap empat tahun lalu, tidak dinafikan aksi Wilfried Zaha sentiasa memberikan inspirasi buat The Eagles di pentas Liga Perdana Inggeris.

Kejayaan menyumbat 10 gol dalam saingan liga musim lalu menyaksikan pemain yang menemui kegagalan sewaktu melalui tempoh dua musim bersama Manchester United itu menjadi rebutan beberapa kelab di England, termasuk The Red Devils.



Namun, pihak pengurusan The Glaziers semestinya tidak mahu melepaskan Zaha dengan mudah tatkala mereka melihat pemain berusia 26 tahun itu sebagai aset utama kelab.

Justeru, untuk menafikan sebarang usaha jalan keluar buat Zaha, tanda harga GBP80 juta (RM418 juta) diletakkan, lebih-lebih lagi selepas hampir pasti kehilangan khidmat bintang muda, Aaron Wan-Bissaka, yang dijangka melengkapkan perpindahan bernilai GBP50 juta (RM262 juta) ke Old Trafford tidak lama lagi.

Apa yang mengejutkan, Zaha dilaporkan telah memberitahu pihak kelab mengenai keinginannya untuk keluar dan menggesa pasukan agar memberikan persetujuan dengan Arsenal, kelab yang diminati pemain itu sejak kecil.

Meskipun menamatkan saingan liga di tangga kelima musim lalu sebelum tewas dalam final Liga Europa di tangan Chelsea, laporan mengatakan The Gunners hanya mempunyai dana sebanyak GBP45 juta (RM236 juta) untuk dibelanjakan susulan kegagalan ke pentas Liga Juara-Juara Eropah musim depan.



Justeru, keinginan Zaha untuk ke Emirates itu berkemungkinan besar sukar untuk dilaksanakan walaupun secara terbuka dia menunjukkan kemahuan mahu meninggalkan Selhurst Park.

Sewaktu Palace melakukan perbincangan mengenai perpindahan Wan-Bissaka, The Eagles gagal memadamkan klausa melibatkan Zaha dengan United, di mana skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu tetap akan menerima 25 peratus daripada keuntungan penjualan sekiranya Zaha meninggalkan The Eagles.



Namun, walaupun perpindahan Zaha ke Emirates tampak sukar disebabkan yuran perpindahan, terbit sedikit sinar buat penggempur Ivory Coast itu memandangkan wujud laporan di Itali bahawa penyerang Arsenal dari Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang, sudah menyatakan persetujuan untuk ke Old Trafford kerana Solskjaer sedang mempersiapkan pasukan tanpa Romelu Lukaku yang mahu ke Inter Milan.

Agak tidak logik untuk pengendali The Gunners, Unai Emery, melepaskan ayam tambatan sendiri untuk ke Old Trafford tetapi situasi yang dilalui Robin Van Persie suatu masa dahulu mungkin menyuntik peratusan untuk ia berlaku sekali lagi.



Ironinya, nama Zaha, Aubameyang dan Lukaku menjadi satu rantaian penggempur yang berkaitan secara tiba-tiba tetapi dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen