Ini baru ‘rare’ -- Mourinho puji Liverpool

Oleh Shaukei Kahar 16 March 2019 7608
Ini baru ‘rare’ -- Mourinho puji Liverpool
Waktu senggang selepas kehilangan jawatan harus mengubah perwatakan Jose Mourinho.

Mengibaratkan pelantikan semula Zinedine Zidane selaku pengurus Real Madrid “sebagai sempurna” ketika dia sendiri amat mengharap ditawarkan serta memuji Jurgen Klopp yang dulu lazim dipersendakannya – semua itu membayangkan perspektif bekas pengurus Manchester United itu sudah banyak berubah.

Hakikat Mourinho – dipecat United, Disember lalu – kini seorang yang lebih merendah diri, harus satu kenyataan yang “win”.

Terbaru, bekas pengurus berusia 56 tahun itu yang pernah digelar “Judas” oleh penyokong Chelsea, membuat pengakuan terbuka betapa dia telah tersilap mengenai kemampuan Liverpool dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim ini.

Kecemerlangan Liverpool menyingkirkan Bayern Munich dengan agregat 3-1 di Arena Allianz awal pagi kelmarin ihsan dua jaringan Sadio Mane dan satu gol Virgil van Dijk, telah memaksa ‘The Special One’ menelan balik kata-katanya.



Mourinho sebelum ini meramalkan juara Bundesliga itu yang akan unggul sebagaimana dipetik oleh Liverpool Echo: “Saya melihat Bayern, di sebalik mengalami musim yang turun naik, saya melihat mereka yang akan mengunggulinya.

“Saya melihat Bayern sebagai sebuah pasukan yang mampu menyumbat gol. Jika saya perlu memilih – saya tidak akan bertaruh dengan pound – saya memilih Bayern.”

Itu minggu lalu.

Kemudian, bercakap dengan akhbar Russia Today selepas kemenangan Liverpool itu, Mourinho mengakui keterlanjuran kata-katanya: “Analisis saya didasarkan kepada tradisi milik Bayern dan Bayern saya fikir buat sembilan tahun berturut-turut, mereka layak ke suku akhir.

“Jadi, saya fikir ini kali pertama dalam sembilan tahun yang mereka tidak layak.”

Mourinho menambah: “Dari sebelah sana pula, saya melihat Liverpool sedang tergelincir dalam Liga Perdana dan mereka sedang keciciran banyak mata. Namun, Liverpool datang dengan prestasi terbaik mereka musim ini dalam Liga Juara-Juara. Sudah pasti.” 

Barisan kendalian Klopp itu diundi untuk berdepan Porto dalam suku akhir, cukup untuk Mourinho – yang memimpin skuad Liga Primeira itu tampil juara Eropah pada 2004 – mengulas: “Jadi, mereka berjaya memeranjatkan saya. Saya tidak fikir mereka memeranjatkan diri mereka sendiri kerana sudah tentu mereka yang pertama mempercayai (kemampuan sendiri).

“Tapi untuk memeranjatkan ramai dengan prestasi hebat itu, ia meletakkan mereka dalam kedudukan baik dalam cabaran Liga Juara-Juara. Tapi saya juga fikir daripada sudut pandangan mental, barangkali mereka dilahirkan semula dan mereka boleh membawa prestasi seperti ini ke dalam Liga Perdana,” katanya.

Dalam pada itu, Mourinho tidak dapat menghindar diri daripada memperlekehkan Bayern: “Sedih untuk melihat mereka. Saya fikir mereka rebah dalam setiap perspektif.

“Liverpool adalah pasukan yang mengerah pemain naik ke atas, Bayern pula pasukan yang menurunkan pemain jauh ke bawah, jurangnya amat besar di antara kedua-dua garis berkenaan.

“(Robert) Lewandowski terlalu keseorangan. Tiada langsung tekanan di bahagian tengah. James Rodriguez terus tenggelam, langsung tidak mampu membuat sebarang tekanan, mencipta sebarang gerakan atau menjalin apa-apa dengan tiga pemain serangan.

“Jadi, saya fikir ia adalah prestasi yang menyedihkan daripada Bayern.”

Di sebalik ia bukanlah pujian melambung terhadap Liverpool atau Klopp, namun pengakuan Mourinho betapa dia telah tersilap terhadap The Reds tetap dihargai.

Untuk Mourinho mengatakan demikian – di sebalik memusuhi Liverpool ketika dia masih bersama Chelsea lagi membawa kepada peralihannya ke United – pujiannya adalah “rare”.

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen