"Impian Piala Dunia Lopetegui Musnah"

Oleh Syamil Izwan Azizan 13 June 2018 14941
Persiapan skuad Sepanyol untuk hadapi kejohanan Piala Dunia di Russia sememangnya di rancang rapi dalam memastikan mereka dapat merampas kembali gelaran yang pernah dimenangi pada 2010.

Begitupun ketika pasukan-pasukan lain sibuk merencana perancangan serta taktikal oleh jurulatih masing-masing, Sepanyol akan memulakan kempen Piala Dunia menentang Portugal tanpa kelibat Julen Lopetegui.

Segalanya akibat pengumuman yang tidak bersesuaian dengan masa oleh Real Madrid yang mengesahkan Lopetegui sebagai pengurus mereka yang baharu bagi menggantikan Zinedine Zidane.

Penulis berpandangan walaupun Real cuba untuk memuktamadkan pengurus mereka secepat mungkin tanpa ingin berlengah, pengumuman sedemikian menjejaskan tumpuan Lopetegui serta skuad La Furia Roja untuk hadapi kempen Piala Dunia kali ini.

Malah menerusi pengumuman itu juga dapat memecahkan kem Sepanyol itu sendiri kerana umum mengetahui perseteruan antara Real Madrid dan Barcelona turut berlanjutan ke dalam pasukan kebangsaan negara berkenaan.

Meskipun terdapat usaha di saat akhir oleh pemain-pemain Sepanyol, khususnya diketuai oleh Sergio Ramos untuk Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) mengekalkan Lopetegui sehingga berakhirnya saingan Piala Dunia, tetapi ia tidak dapat mengubah keputusan yang dilakukan oleh presiden badan itu, Luis Rubiales.

Ia berikutan rundingan antara Real Madrid serta Lopetegui tidak diketahui oleh RFEF malah mereka sendiri hanya dimaklumkan mengenai perkara itu 5 minit sebelum kelab paling berjaya di rantau Eropah itu membuat pengumuman rasmi.

Penulis merasakan Lopetegui tidak seharusnya dipersalahkan kerana dia kemungkinan menjangkakan Real Madrid telahpun membuat permohonan kepada RFEF untuk mengadakan perbincangan bersamanya.

Namun kini impian Lopetegui memimpin pasukan Sepanyol di pentas Piala Dunia musnah dengan RFEF memberikan tanggungjawab berkenaan kepada bekas pemain dan kapten La Furia Roja, Fernando Hierro.

Lantas satu tugas besar buat Hierro untuk mengalihkan isu ini di samping memastikan tumpuan skuad Sepanyol tidak terjejas sepanjang kempen Piala Dunia kali ini.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen