Ikon yang tiada pengganti

Oleh Ammar Hakim 22 May 2018 3739
Ikon yang tiada pengganti
Sesetengah pemain berupaya membentuk identiti pasukan bagi menempuhi setiap halangan dan cabaran dalam usaha mencipta kejayaan. Kehadiran mereka ini menyaksikan sejarah memahat nama mereka sebagai ikon yang tidak mampu dicari pengganti.

Alan Shearer (Newcastle)

Berulang kali menolak tawaran Manchester United, Shearer membantu Blackburn Rovers menjuara Liga Perdana Inggeris pada musim 1995/96 sebelum mengambil keputusan untuk menyertai Newcastle pada musim berikutnya.

Menjaringkan 25 gol dalam 31 perlawanan liga, dia membantu Newcastle menghuni tangga kedua di belakang Manchester United. Musim berikutnya, mereka menewaskan juara Sepanyol, Barcelona, 3-2 dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Shearer terus tampil beraksi bersama Newcastle dan menjadi penjaring terbanyak kelab dengan 206 gol dalam 405 perlawanan.

The Magpies bagaimanapun bergelut tanpa Shearer -- tersingkir daripada EPL dua kali dalam tempoh 10 tahun dan hanya dua kali mengakhiri saingan dalam kelompok enam terbaik sejak persaraannya pada 2006. 

Patrick Vieira (Arsenal)

Arsenal mungkin dalam keadaan yang bergelut sejak musim lalu apabila gagal beraksi dalam saingan UCL. Jika masa diundur 15 tahun ke belakang, The Gunners adalah antara pasukan terbaik Eropah.

Barisan tengah yang ditunjangi pemain kebangsaan Perancis, Vieira, selaku kapten membantu Arsenal memenangi gelaran liga pertama dalam tempoh tujuh tahun pada 1998.

Sejak Vieira meninggalkan kelab pada 2005, Arsenal hanya mampu mengakhiri saingan liga di tempat kedua tetapi gagal mencari pemain yang mempunyai persamaan dengannya.

Andrea Pirlo (AC Milan)

Selepas menjuarai Serie A pada 2011, Pirlo menyertai Juventus secara percuma pada usia 32 tahun.

Membuktikan kepada Milan yang menganggap dirinya tidak diperlukan, Pirlo membantu Juve menjuarai empat Serie A dan dua Supercoppa Italiana. 

Sementara Milan pula gagal untuk menambah trofi sejak 2011, tewas 4-0 kepada Juve dalam aksi final Coppa Italia 2018 -- ia membuktikan mereka memerlukan seorang pemain tengah yang berpengaruh seperti Pirlo yang membantu Milan memenangi sembilan gelaran dalam tempoh 10 tahun bersama pasukan itu.

Gianluigi Buffon (Juventus)

Juventus telah mengucapkan selamat tinggal kepada Buffon yang mengumumkan persaraan daripada bola sepak ketika usianya mencecah 40 tahun. Tampil sebanyak 650 kali untuk kelab, jersi nombor satu The Old Lady tidak pernah bertukar tangan selama 17 tahun.

Berpindah dari Parma pada 2001 bagi menggantikan Edwin Van de Sar, Buffon hampir menyertai Barcelona tetapi berjaya diyakinkan oleh bapanya untuk kekal di Itali.

Hasilnya, dia telah memenangi lapan Serie A, empat Coppa Italia dan Supercoppa Italiana lima kali.

Andres Iniesta (Barcelona)

Dikenali sebagai pemain yang memiliki kelas dan kemas ketika mengawal bola, Iniesta merupakan tunjang kepada kejayaan Barcelona sejak 15 tahun lalu. Pemain itu telah beraksi dalam 852 perlawanan, dia merupakan antara pemain yang paling berjaya bersama pasukan dengan merangkul 33 gelaran.

Walaupun kelab masih lagi mempunyai pemain terbaik dunia, Lionel Messi yang dilihat sebagai wira kepada pasukan ini, cara Iniesta membaca rentak perlawanan dan  kreatif di atas padang membantu perkembangan permainan Messi. 

Dalam aksi El Clasico terakhirnya, penyokong Real Madrid memberikan tepukan sebagai tanda hormat kepada Iniesta, penghormatan yang sama diberikan kepada Ronaldinho dan Diego Maradona.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen