Igauan ngeri Kento Momota

Oleh Sharon Wee 15 January 2020 3627
Igauan ngeri Kento Momota
Susah tidur, mengigau dan takut berada dalam kereta antara simptom yang mungkin dihadapi pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota. 

Terselamat daripada tragedi yang meragut nyawa pemandu van dan mencederakan empat penumpang yang lain, sedikit sebanyak akan memberi impak psikologi kepada Momota. 

Kesan gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) perlu diambil serius pasukan bantuan juara dunia 2 kali itu untuk kembali bangkit beraksi dalam sirkit badminton. 

Jepun sudah pasti akan menyediakan perkhidmatan psikologi dan latihan terbaik sebaik saja Momota sampai di Tokyo dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana dialah satu-satunya harapan untuk rangkul pingat emas pertama Jepun dalam sukan badminton di Sukan Olimpik 2020, Julai nanti. 

Momota mengeluh dengan nasib yang ditimpa, lebih-lebih lagi pada tahun Olimpik, namun kata-kata semangat diberikan pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali, Lee Chong Wei, sudah pasti menaikkan semangat rakannya itu. 

Chong Wei sendiri pernah melalui halangan tidak diingini, antaranya kecederaan dalam Piala Thomas, kekejangan otot dalam final Kejohanan Dunia dan lebih sedih, terpaksa bersara dari badminton kerana kanser. 

Momota juga melepasi dugaan besar dalam kariernya apabila digantung dari sukan badminton pada 2016 kerana berjudi tetapi selepas kembali beraksi pada Julai 2017 sebelum dia mendominasi dunia dengan 184 kemenangan daripada 200 perlawanan dan layak ke 29 final dalam 39 kejohanan. 

Ramai pemerhati sukan percaya Momota yang dibimbing Park Joo Bong dan pasukan bantuan berpengalaman akan bangkit sepenuhnya dalam beberapa minggu dan mengekalkan takhta teratas dunia serta terus menjadi pilihan untuk rangkul pingat emas badminton perseorangan lelaki di Sukan Olimpik, Tokyo 2020. 

Tiada siapa yang mahu tragedi ini berlaku lebih-lebih lagi di Malaysia.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen