Hong Kong 'tapau' Malaysia

Oleh Sharon Wee 26 March 2018 5051
Hong Kong 'tapau' Malaysia
'Tapau' bermakna bungkus dan dalam situasi sukan memberi gambaran sesebuah pasukan itu dikuasai atau dikalahkan. 

Pasukan skuasy wanita negara mungkin tidak senang mendengar perkataan ini namun realitinya mereka tewas kepada pasukan yang bukanlah pencabar Malaysia iaitu Hong Kong dari tahun 2002 hingga 2008 di mana kekuatan pasukan wanita negara pada tahap terbaik dengan empat kejuaraan berturut-turut Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia. 

Edisi kali ini di Korea Selatan yang berakhir pada Ahad lalu menyaksikan pasukan wanita Hong Kong yang diketuai oleh Annie Au yang menumpaskan juara dunia lapan kali, Datuk Nicol David, dalam Terbuka Amerika Syarikat awal tahun ini buat kali pertama dalam 24 pertemuan, mudah mengalahkan pasukan Malaysia yang dibarisi pemain muda negara, antaranya Lai Wen Li dan Ooi Kah Yan, di peringakt separuh akhir. 

Juara bertahan Malaysia tidak menurunkan pemain utama seperti Nicol David dan S.Sivasangari yang lebih memberi tumpuan dalam persediaan Sukan Komanwel,Gold Coast bermula 4 April ini. 

Namun ini juga memberi gambaran pelapis negara masih belum bersedia menunjuk taring di peringkat antarabangsa. 

Selain Hong Kong, satu lagi negara yang besar kemungkinan akan mendominasi sukan skuasy di Asia dari aspek kekuatan pasukan adalah India. 

Pasukan lelaki negara juga tidak ketinggalan dibelasah juara 15 kali Pakistan dalam separuh akhir dan kapten, Mohd Addeen Idrakie, mengakui kesilapan mudah dalam perlawanan antara sebab kekalahan. 

Apa yang pasti pasukan lelaki dan wanita Hong Kong tersenyum dengan kekurangan pasukan lain setelah mereka mencipta sejarah satu-satunya pasukan yang berjaya menjuarai kejohanan ini dalam kedua-dua kategori selepas Malaysia melakukannya pada 2006 dan 2008. 

Berhati-hati skuasy Malaysia. 

Kejayaan Nicol David tidak akan berterusan selama-lamanya. 

Dahulu kita mudah 'tapau' negara Asia lain tetapi kini janganlah kita terus 'ditapau'. 




 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen