High pressing “kryptonite” Barcelona

Oleh Ammar Hakim 9 May 2019 8732
High pressing “kryptonite” Barcelona
Barcelona sekali lagi dikecewakan dengan kebangkitan pasukan lawan selepas Liverpool dalam aksi timbal balik separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL), semalam.

Gergasi Catalan itu merupakan pilihan untuk melangkah ke final selepas merakamkan kemenangan 3-0 dan menghalang Liverpool untuk mencetak sebarang jaringan di tempat lawan. Kejayaan mereka dalam aksi pertama hasil daripada aksi menakjubkan Lionel Messi yang mencetak dua gol di Nou Camp.

Selepas menjuarai LaLiga, Barcelona menurunkan barisan muda dan ternyata kekurangan pengalaman skuad ini telah menyaksikan mereka tewas 2-0 kepada Celta Vigo. Walaupun tewas, ia membenarkan barisan utama skuad bimbingan Ernesto Valverde itu memiliki rehat untuk membuat persiapan menghadapi Liverpool.

Liverpool pula masih lagi bersaing dalam Liga Perdana Inggeris dengan melakar kemenangan 3-2 ke atas Newcastle United dan terpaksa berdepan Barca tanpa khidmat Mohamed Salah.

Ia dilihat sebagai tamparan buat anak buah Jurgen Klopp, yang sudah kehilangan khidmat Roberto Firmino dan berdepan tugas sukar mengejar defisit tiga jaringan.

Liverpool mempamerkan aksi penuh dengan keyakinan sejak permulaan permainan dan Divock Origi membuka jaringan seawal minit ketujuh untuk memulakan kebangkitan The Reds. Barcelona turut memiliki peluang, namun gagal disempurnakan.

Separuh masa kedua menyaksikan Georginio Wijnaldum hadir sebagai pemain gantian, pemain tengah Belanda itu bingkas meledak dua gol untuk menyamakan kedudukan 3-3 secara agregat.

Barcelona kelihatan hilang arah berdepan pendekatan permainan agresif Liverpool. Sepakan sudut licik Trent Alexander-Arnold pada minit ke-79 membuatkan Barcelona seperti pasukan kurang berpengalaman apabila Origi mudah menampan masuk bagi menyempurnakan kebangkitan mereka.

Buat tahun kedua berturut-turut, Barcelona melepaskan kelebihan tiga jaringan dalam kejohanan Eropah -- sama seperti apa yang dilakukan ketika berdepan Roma musim lalu.

Kekalahan ini membuktikan The Catalans harus menerima hakikat bahawa mereka gagal untuk mengecap kejayaan di pentas Eropah selama empat musim walaupun mendominasi saingan di Sepanyol.

Kegagalan taktikal Valverde terdedah

Valverde telah diberikan masa untuk membuktikan pendekatannya berhasil tetapi tidak mempunyai sebarang jawapan berdepan pasukan yang memberikan tekanan tinggi. Taktikalnya hanya berhasil apabila lawan bersifat pastif bagi membenarkan Barcelona kerap melancar serangan.

Perkara itu berlaku musim lalu ketika bertemu Roma tetapi pada ketika itu, tahap kecergasan turut memainkan peranan.

Kejayaan domestik Barcelona musim ini hasil daripada "malapetaka" yang dialami Real Madrid, mereka tidak perlu berusaha lebih daripada apa yang harus dipamerkan. The Catalans tidak menerima sebarang tentangan dalam saingan LaLiga dan mendahului saingan sejak perlawanan ke-14 dan memenanginya ketika saingan berbaki tiga perlawanan.

Valverde menjuarai liga dua musim berturut-turut dan dilihat sebagai pengurus yang mampu melakar sejarah menjulang ‘treble’ buat kali ketiga berturut-turut.

Kejayaan domestik telah berjaya mengaburi kekurangan dalam keberkesanan taktikalnya dalam saingan penting UCL.

Aksi di tempat lawan berdepan Olympique Lyonnais pusingan 16 menyaksikan Barcelona mencetak 25 percubaan tetapi hanya lima menepati sasaran. Perlawanan tersebut berakhir dengan seri tanpa jaringan. Mereka bagaimanapun bangkit beraksi di Nou Camp apabila meraih kemenangan 5-1.

Aksi di Old Trafford berdepan Manchester United turut kelihatan hambar buat Barcelona yang sekadar merakamkan kemenangan menerusi jaringan sendiri Luke Shaw.

Terdapat bukti Barcelona bergelut berdepan pasukan yang lebih taktikal jika beraksi di tempat lawan, kemenangan 3-0 di Nou Camp ke atas Liverpool sekali tidak cukup untuk menyerap asakan Liverpool ketika turun beraksi di Anfield.

Valverde hanya tewas 11 kali dalam tempoh dua musim bersama Barca, tetapi peratusan kemenangannya hanyalah 68.97% -- di bawah paras rendah jika dibandingkan dengan bekas pengendali seperti Pep Guardiola dan Luis Enrique; masing-masing memiliki peratusan kemenangan 72.5% dan 75%.

Barca hanya dipikul Lionel Messi sendirian

Sejak permulaan musim 2017-18, Barcelona menandatangani pemain-pemain seperti Ousmane Dembele, Philippe Coutinho dan Malcom. Mereka hadir dengan tujuan memperkasakan jentera serangan, namun Messi tetap hadir setiap kali mereka bergelut mencari kemenangan atau mengelak daripada kekalahan.

Dembele bergelut dengan kecederaan sejak menyertai pasukan dan gagal mencapai jangkaan yang telah ditetapkan. Coutinho adalah satu pembaziran terbesar Barcelona manakala Malcom tidak diberikan waktu secukupnya untuk beraksi. Luis Suarez turut kelihatan tidak lagi berbisa selepas hanya merakamkan dua jaringan dalam 20 aksi UCL.

Keseluruhan tanggungjawab jatuh di bahu pemain berusia 31 tahun itu, yang terus berusaha menghidupkan harapan pasukannya. Tetapi pada hari dia gagal untuk beraksi cemerlang, seluruh pasukan "karam".

Messi merupakan penjaring terbanyak LaLiga dan UCL, tetapi sekali lagi gagal untuk mendakap trofi kejohanan paling terbesar Eropah itu.

Dalam usaha untuk menjadi pasukan ampuh di Eropah, Barcelona memerlukan skuad yang tidak perlu bergantung kepada Messi setiap kali beraksi di atas padang. Kekalahan ini mampu membuat mereka membuka mata melihat kekurangan di dalam pasukan ini.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen