Hidup mati skuad skuad B-22

Oleh Azlan Mubin 4 December 2019 4670
Hidup mati skuad skuad B-22
Hari ini 4 Disember 2019 adalah hari yang cukup penting buat skuad bola sepak negara di pentas Sukan Sea Filipina. Selepas seri 1-1 ke atas Myanmar, Tewas kepada Filipina 1-0 dan menundukkan Timor Leste 4-0 ia belum cukup untuk memastikan mara ke separuh akhir.

Situasi Kumpulan A, pasukan Myanmar telah melengkapkan semua perlawanan peringkat kumpulan dan pasti menjadi Juara Kumpulan selepas mengumpul 10 mata. Manakala persaingan masih terbuka buat pasukan kedua yang akan mengiringi Myanmar kerana Kemboja, Malaysia dan Filipina masing-masing terikat dengan 4 mata dan kesemuanya akan melengkapkan perlawanan terakhir.

Buat pasukan negara, menang adalah jalan terakhir jika mahu mara tetapi hasrat ini mungkin berkubur jika pasukan tuan rumah, Filipina menang besar ke atas Timor Leste. Setakat ini, Malaysia masih berkelebihan dengan 3 perbezaan gol berbanding Filipina.

Seperti saya katakan, jika skuad kendalian Goran Milojevic menang ke atas Timor-Leste dengan jumlah jaringan besar, pasti mereka akan ke separuh akhir.

Apa pun berlaku, kita harapkan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee tampil berkeyakinan dengan corak permainan yang lebih tersusun.

Jika mahu memperkatakan mengenai taktikal mahupun teknikal pasukan, sememangnya saya tidak layak. Tetapi apa yang ditampilkan pasukan setakat ini, kita boleh menilai bahawa ini bukanlah yang terbaik berdasarkan keupayaan pemain yang ada.

Namun, diharapkan dalam perlawanan terakhir nanti, Malaysia turun dalam keadaan bersedia dan fokus terhadap permainan. Ya, kemenangan adalah cukup penting tetapi buat peminat pastinya mereka turut mengharapkan pemain negara mempamerkan aksi terbaik dan yang lebih penting mampu menyerap tekanan. Tambahan pula, pasukan Kemboja juga tidak mahu melepaskan peluang terakhir ini dan skuad kendalian Felix Dalmas telah buktikan bahawa Kemboja bukan lagi pasukan belasahan di rantau Asia Tenggara.

Ayuh, kita berikan sokongan terbaik buat skuad negara dan jangan lupa saksikan secara langsung di saluran Astro Arena.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen