"Hero kampung" yang konsisten

Oleh 20 February 2018 1926
Abaikan kisah kehebatan persaingan di antara Napoli dan Juventus di puncak carta Serie A bagi musim 2017/18 selepas 25 perlawanan tetapi cuba alihkan perhatian kepada penjaring terbanyak liga, Ciro Immobile.
 
Penyerang Itali itu meraikan hari jadinya yang ke-28 dengan penuh bergaya apabila meledakkan dua gol ketika membantu Lazio membenam cabaran Hellas Verona 2-0 dalam aksi di Stadium Olimpico, sekali gus membawa skuad kendalian Simone Inzaghi itu naik ke tangga keempat liga.
 
Dua jaringan itu juga membolehkan Immobile terus mengetuai senarai penjaring terbanyak Serie A dengan 22 gol, meninggalkan pencabar terdekat daripada Inter Milan, Mauro Icardi, dengan 18 jaringan.
 
Kehebatan Immobile di depan gawang lawan tidak perlu dipertikaikan di peringkat domestik kerana pada musim 2013/14, dia telah membuktikan ketajamannya apabila melakukan kejutan dengan mengungguli Anugerah Capocannoniere (penjaring terbanyak) Serie A dengan 22 gol, mengatasi nama-nama besar ketika itu seperti Luca Toni, Carlos Tevez dan Gonzalo Higuain.
 
Bagaimanapun, langit tidak selalunya cerah buat Immobile.
 

 
Dek kehebatannya itu, dia menarik minat Jurgen Klopp yang ketika itu mengendalikan Borussia Dortmund, dengan harapan dapat membentuk gandingan berbisa bersama Pierre-Emerick Aubameyang, selepas kehilangan khidmat Robert Lewandowski yang berhijrah ke musuh ketat, Bayern Munich.
 
Ibarat mengikut tradisi kebanyakan penyerang Itali yang hanya menampilkan aksi memukau di laman sendiri, perpindahan Immobile ke Jerman menjadi satu malapetaka selepas hanya mencatat tiga jaringan daripada 24 penampilan, sebelum dipinjamkan ke Sevilla pada Julai 2015, yang menyaksikannya menyumbat dua gol selepas lapan kali beraksi.
 
Ya, Immobile benar-benar muncul seorang penyerang tipikal Itali, apabila hanya memerlukan dua hari selepas kembali ke Serie A untuk meledakkan jaringan pembukaan ketika membantu majikan lamanya, Torino, menewaskan Frosinone dan gol itu adalah permulaan kepada lima jaringan daripada 14 penampilan.
 
Tahap konsisten yang tinggi di peringkat domestik membuatkan Inzaghi tidak teragak-agak untuk mendapatkannya ketika musim panas 2016 dan pembelian bernilai EUR8.75 juta (RM42 juta) itu dibalas dengan 23 gol, membantu Biancazzurri menamatkan saingan di tangga kelima.
 

 
Kini, Immobile sekali lagi menunjukkan taringnya dengan 22 gol tatkala saingan musim ini berbaki 13 perlawanan.
 
Walaupun persembahan hebatnya di Itali tidak dapat diterjemahkan ke dalam skuad Azzurri sehingga gagal layak ke Piala Dunia 2018, dia telah pun membuktikan dirinya selaku antara penggempur yang wajar diberikan perhatian dengan rekod jaringan yang begitu konsisten.
 
Selamat hari jadi ke-28, Ciro Immobile!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen