Hazard tidak 'bahaya' dalam LaLiga

Oleh Ammar Hakim 30 September 2019 15888
Hazard tidak 'bahaya' dalam LaLiga
Eden Hazard tidak diragui merupakan salah seorang pemain terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika meninggalkan Chelsea untuk bersama Real Madrid dengan harapan menghadirkan impak buat gergasi Sepanyol itu. 

Kemas ketika menggelecek dan bijak mengubah rentak serta tidak kedekut jaringan menyaksikan dia tidak sukar untuk menyesuaikan diri dengan mana-mana pasukan. Malangnya, perkara itu tidak berlaku.

Walaupun Hazard -- nama yang bermaksud 'bahaya' -- tidaklah seperti apa yang dijangkakan, pemain skuad kebangsaan Belgium itu gagal mendapatkan sentuhan terbaiknya.

Hazard bukanlah seorang pemain yang paling cergas di dunia. Ketika bersama Chelsea, dia memiliki satu musim yang cemerlang atau memulakan musim meningkat ke tahap terbaik.

Selepas beberapa perlawanan dan bertambahnya masalah buat Real, Hazard sedang mengharungi fasa sukar -- kelihatan seperti pemain yang telah bersara ketika saingan pramusim dan kelihatan berat badannya naik secara mendadak, sekali gus merencatkan gaya permainannya sementara memerlukan masa menyesuaikan diri di Sepanyol.



Hazard tidak akan mampu menjadi pemain yang komited dengan tahap kecergasan seperti Cristiano Ronaldo tetapi akan menemui tahapnya ketika beraksi di bawah kendalian Antonio Conte.

Hazard sudah terbiasa menjadi tonggak utama di Chelsea. Hampir segala strategi di Chelsea harus melibatkannya. Pemain-pemain lain sentiasa melihat pergerakannya dan perkara itu tidak berlaku di Real.

Hazard tidak diberikan peluang dengan kerap untuk melakukan larian pantas ketika menyerang serta menembusi pertahanan lawan. 

Corak serangan Real yang agak perlahan tidak membenarkan Hazard menampilkan kemampuannya, ditambah pula pemain berusia 28 tahun itu tidak turun membantu pasukan untuk bertahan mengehadkan lagi dirinya daripada menyentuh bola.

Dan yang terbaru, pemain itu gagal memberikan impak dalam aksi ‘derby’ Madrid berdepan Atletico dalam perlawanan yang berkesudahan seri tanpa jaringan, Sabtu lalu.



Di sebalik permulaan perlahan bintang itu, rakan senegaranya, Thibaut Courtois, yakin dia akan kembali menemui rentak.

"Hazard tidak beraksi dan berlatih dengan intensif hampir empat atau lima minggu.

"Persembahannya akan meningkatkan dan mula mendapatkan rentak bersama Real," katanya.

Isu "kurang yakin" adalah perkara yang paling terakhir untuk dijangka oleh pemain dalam kalangan terbaik dunia, namun ia seperti sedang membelenggu Hazard. 

Dia bermain bersama kelab terbaik dunia, dibimbing oleh idolanya. Dia berkemungkinan bimbang dalam setiap pergerakannya dan terlalu berusaha untuk membuktikan sesuatu kepada pasukan.

Ketika ramai yang berpandangan Hazard tidak akan memberikan impak di Real, terbit satu lagi pandangan bahawa masih terlalu awal untuk menilai persembahannya. Pemain seperti Luka Modric mengambil masa hampir setahun untuk menyesuaikan diri dan menyerlah di Real.

Hazard bukanlah jenis pemain yang dijangka untuk memberikan impak dengan segera dan jika Real amat memerlukannya, mereka akan menghadapi satu masalah besar. 

Masa perlu diberikan untuknya mengenali secara menyeluruh selok-belok saingan di Sepanyol. Peminat Real juga disarankan bersabar sebelum dia kembali menemui magisnya.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen