Harimau Malaya tak dapat raya 

Oleh Zulhelmi Zainal Azam 16 April 2019 2944
Harimau Malaya tak dapat raya 
"Faktor berpuasa dan Hari Raya Aidilfitri selalu mengganggu fokus dan mental pemain. Ini kerana sudah menjadi budaya kita untuk menyambut Hari Raya di samping keluarga. Nampaknya tahun ini kami terpaksa berkorban demi negara," Itu reaksi jurulatih negara, Tan Cheng Hoe.

Ia susulan skuad Harimau Malaya akan mengharungi perlawanan pusingan pertama play-off kelayakan Piala Dunia 2022 (Zon Asia) ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, Jun ini.

Jelas, bekas jurulatih Kedah itu lebih bimbang mengenai kekuatan mental anak buahnya berbanding cabaran yang akan ditempuhi dalam aksi play-off itu.

Lantas, tiada lain Cheng Hoe hanya mengharapkan tuah dalam undian play-off itu supaya pasukannya tidak diundi menentang pasukan yang memerlukan perjalanan jauh.

Undian untuk aksi play-off itu akan dilangsungkan di ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Bukit Jalil, pada Rabu.

Dalam undian itu nanti, balang satu akan diisi oleh pasukan yang berada di kedudukan 35-40 terbaik zon Asia yang terdiri daripada Malaysia, Kemboja, Macau, Laos, Bhutan dan Mongolia.

Manakala, balang dua pula (ranking 41-46 zon Asia) menyaksikan pasukan Bangladesh, Guam, Brunei, Timor Leste, Pakistan dan Sri Lanka.

Ini bermakna skuad negara akan menentang pasukan di balang kedua sekaligus memiliki peluang cerah untuk meraih kemenangan.

Skuad negara perlu memastikan tempat ke pusingan kedua bagi mengelak daripada menjejaskan misi peta hala tuju Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), F:30.

Anak buah Cheng Hoe terpaksa menempuh aksi play-off itu setelah gagal menempatkan diri dalam kelompok pasukan 34 terbaik Asia susulan kegagalan dalam kempen Piala Airmarine, bulan lalu.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen