Harimau Kumbang lolos kali kedua

Oleh Azlan Mubin 21 July 2019 3693
Harimau Kumbang lolos kali kedua
Oleh Azlan Mubin

Tahniah buat pasukan Pulau Pinang apabila berjaya bangkit mencipta kemenangan penting ke atas PDRM FC 2-1 malam tadi untuk mengesahkan slot kedua bersama Sabah yang akan beraksi di pentas Liga Super 2020.


Di sebalik kejayaan itu, ia mengimbau kembali kata-kata keramat bekas pengendali pasukan Pulau Pinang, Jacksen Ferreira Tiago, atau lebih dikenali sebagai Mamu Jacksen, “Kita bisa lolos,” ketika skuad Harimau Kumbang itu memerlukan kemenangan terakhir ke atas UiTM FC dalam perlawanan terakhir Liga Perdana 2015 sebelum mengesahkan tempat ke Liga Super 2016 apabila menang bergaya 2-0.

Jadi, signifikan ‘lolos buat kali kedua’ ialah Pulau Pinang mencipta kemenangan ke atas PDRM FC tahun ini di stadium yang sama, iaitu Stadium Hang Jebat, juga dengan harapan yang sama, iaitu mahu kembali ke Liga Super.

Bagi meraikan kejayaan ini, penulis mahu berikan tiga kredit:

Pertama ialah kepada Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) kerana berjaya menunjukkan kesungguhan terhadap prestasi pasukan pada tahun ini apabila bijak mengambil peluang mengikat dua pemain import, Anselmo Casagrande, yang dilepaskan oleh Melaka United ketika jendela perpindahan kedua liga secara pinjaman, dan kemasukan Sergio Aguero daripada Selangor United.

Kedua pula diberikan kepada jurulatih, Manzoor Azwira Abd Wahid. 

Di bawah kendaliannya, skuad Harimau Kumbang dilihat kembali kepada prestasi terbaik selepas bekas pengendali Perlis itu pulang pada pertengahan April lalu nagi menggantikan Ahmad Yusof. Nyata kemasukannya memberikan impak positif sehingga merekodkan lima kemenangan, empat seri dan dua kekalahan dalam saingan liga.

Kredit ketiga penulis berikan kepada trio ‘ABC’, iaitu kombinasi Aguero, Bottaro dan Casagrande.

Gandingan ini juga menjadi di bawah kendalian Manzoor Azwira. Trio ‘ABC’ ini adalah senjata utama pasukan di jentera serangan dan ia berhasil apabila Aguero menjaringkan lima gol manakala Bottaro dan Casagrande masing-masing mencetak lapan gol.

Akhir kata, tahniah sekali lagi buat pasukan Pulau Pinang.

Namun, buat FAP, cabaran lebih besar sudahpun bermula.

Kerana apa, kerana bajet dan perancangan pasukan perlu difikirkan bermula sekarang sebelum mengharungi kancah penuh mencabar dalam Liga Super tahun depan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen