Hanya satu pembaziran

Oleh Ammar Hakim 29 September 2019 1270
Hanya satu pembaziran
Tiada jawapan untuk menegakkan dirinya, atlet karate negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan, mengambil keputusan untuk berundur daripada skuad kebangsaan.

Pengunduran dirinya daripada skuad negara telah disahkan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, selepas atlet berusia 27 tahun itu dilaporkan bergelut dengan masalah berat badan sejak tahun lalu hingga terpaksa menarik diri daripada beberapa kejohanan, termasuk yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bekas jaguh kumite nombor satu dunia itu turut gagal menyertai Kejohanan Liga Perdana K1 di Jepun pada 6 hingga 8 September lalu selepas tidak menepati berat badan kategori 55 kilogram (kg) dan ia merupakan peluang terakhirnya untuk melayakkan diri ke Olimpik serta... menebus maruah dirinya selepas berbulan dengan kontroversi.

Bermula tarikh 1 Disember 2018, jurulatih dari Iran, Ali Reza Souleymani, telah dipilih untuk menggantikan jurulatih dari Latvia, Andris Vasiljevs. 
Ali Reza bukan nama asing dalam arena karate Malaysia apabila pernah membimbing skuad negara sejak tahun 1998 hingga 2002 dengan pencapaian terbaiknya membantu Malaysia memenangi pingat dalam Kejohanan Dunia 2002.

Gagal mencapai keserasian dengan corak latihan Ali Reza, Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) mengambil keputusan untuk menggantung Syakilla daripada menyertai kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 ekoran masalah berat badan dan keengganan atlet berkenaan menjalani latihan di bawah pengendali berusia 60 tahun itu.

"Setiap jurulatih mempunyai kaedah latihan berlainan. Saya pernah berlatih di bawah Ali Reza selama tiga minggu. Cara dia melatih tidak sesuai buat kami selaku atlet tahap tertinggi yang berikhtiar ke arah kelayakan. 
“Jadi, apabila kami buat latihan asas seperti atlet baru, ia mungkin sesuai untuk atlet junior. Tapi selaku atlet tahap tertinggi seperti saya, Prem, Sharmen, kita nak latihan tahap kompetitif, kita nak rakan berlatih, kita nak ‘sparring’, kita nak banyak pertandingan tapi ketika ini mereka masih berlatih di depan cermin, tiada rakan berlatih," kata Syakilla ketika ditemubual wartawan Nadi Arena, Mei lalu.

"Saya di tahap yang berbeza. Saya sedang di tahap untuk memburu impian Olimpik yang sudah saya lalui hasil latihan tujuh tahun yang sesuai buat saya."

Badan induk itu kemudian kembali membuka ruang kepada Syakilla dengan memberi peluang kedua apabila atlet tersebut berjaya menurunkan berat badan daripada 65kg kepada 55.8kg sejak menjalani latihan intensif di Pattaya, Thailand, di bawah kendalian bekas ketua jurulatih negara, Vasiljevs dari Latvia.

Dilihat sebagai prospek penyumbang emas pertama Malaysia, MSN turut memperkenankan hajat Syakilla untuk berlatih bersama Vasiljevs bagi menghadapi Kejohanan K1 di Tokyo sebelum masalah sama kembali berulang -- gagal menurunkan berat badan.

Tidak mahu mengikut telunjuk, mahu mengubah sistem serta perancangan yang telah ditetapkan menunjukkan atlet yang bergelar diva ini berani untuk membuktikan kemampuannya. 
Dia sendiri berkemampuan untuk menutup mulut individu yang terus mengkritik dan menggelar dirinya sebagai seorang yang "keras kepala" tetapi kini hanyalah dilihat sebagai omong kosong.

Bukan hanya MAKAF, atau MSN tetapi tetapi seluruh Malaysia telah menerima peluang kedua dan meletakkan harapan yang tinggi terhadap Syakilla, namun ia lenyap dalam sekelip mata.

Kadangkala, mengikut telunjuk jauh lebih baik daripada memilih haluan sendiri yang menuju tiada pengakhiran yang manis.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen