Haluan Program Podium, ke arah mana?

Oleh Lukman Salleh 23 April 2018 699
Haluan Program Podium, ke arah mana?
KEBELAKANGAN ini isu mengenai program sukan elit, Program Podium di bawah Institut Sukan Negara (ISN) menjadi topik yang begitu hangat diperkatakan. Ia gara-gara kegagalan program ini mencapai salah satu daripada empat objektif utamanya iaitu 10 tempat teratas pungutan pingat di Sukan Komanwel XXI di Gold Coast.

Bagaikan halilintar, program in mendapat kritikan dan teguran pelbagai pihak termasuk mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Mazlan Ahmad yang membidas kegagalan program ini untuk mencapai objektif dan mencadangkan supaya program dengan kos 145 juta ringgit untuk tahun 2016 dan 2017 diletakkan di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN). Bagi Mazlan, MSN paling layak menguruskan program ini kerana memiliki kepakaran mengendalikan program besar seperti Jaya ’98, Gemilang 2001 dan Kita Juara 2017. Malah Mazlan menegaskan bahawa tugas dan fungsi ISN hanya bertindak sebagai badan sokongan dalam meningkatkan prestasi atlit melalui sains sukan serta teknologi terkini yang lain.

Sudah pasti apabila program ini gagal mencapai objektifnya ia menimbulkan kebimbangan menenai keberkesanan program yang dilancarkan pada 2016, apatah lagi dengan kos  yang cukup tinggi dengan matlamat utama memastikan kemenangan emas pertama di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pada pandangan saya, program ini perlukan pemantauan rapi. Saya tidak mahu program ini gagal dan berharap semua pihak akan fokus kembali kepada matlamat utama iaitu memacu kecemerlangan sukan negara serta mencapai objektif selanjutnya iaitu 10 tempat teratas pungutan pingat di Sukan Asia 2018 di Jakarta/Palembang, Ogos ini. Tugasnya bukan mudah dan penuh mencabar.

Ini kerana berdasarkan pungutan pingat negara bertanding di Sukan Asia 2014, Malaysia menduduki tangga ke-14 dengan sejumlah lima emas, 14 perak dan 14 gangsa. Negara yang menduduki tangga ke-10 ialah Qatar dengan sejumlah 10 pingat emas.

Maka ramalannya, untuk Malaysia memastikan dalam kelompok 10 teratas di Jakarta/Palembang, kontinjen negara perlu memenangi lebih daripada 10 pingat emas. Berdasarkan kepada prestasi ketika ini, saya agak gusar mengenai kemampuan atlit negara melakukannya. Sukan yang menyumbang emas di Sukan Komanwel iaitu angkat berat, badminton, gimnastik serta terjun pasti sukar untuk mengulangi pencapaian Ogos ini. Manakala boling padang tidak dipertandingkan. Maka di mana Malaysia hendak raih pingat sebanyak itu. Mungkin melalui sukan yang tidak dipertandingkan di Olimpik seperti wushu, bowling, karate-do dan skuasy.

Namun, adakah kita akan puas hati jika sukan-sukan ini yang meraih pingat emas?  Sedangkan matlamat kita pada 2020 adalah emas pertama Olimpik, dan sukan-sukan yang disebutkan di atas tiada dalam program Olimpik? Justeru sesiapa juga yang mengendalikan Program Podium ini perlulah memastikan pelaburan besar tidak sia-sia dan bekerja keras untuk menjamin keberkesanan program ini.

Objektif di Sukan Komanwel sudah gagal dan kita perlu lupakan. Jika terus berdebat mengenainya ia tidak akan membawa ke mana dan melengahkan tugas yang perlu dilaksanakan.  Janganlah juga objektif di Sukan Asia turut membutirkan kehampaan.  Semua pihak terbabit perlu memandang  ke hadapan serta memastikan haluannya selari dengan objektif yang sudah tetapkan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen