Haluan berbeza dua juara remaja dunia

Oleh Lukman Salleh 27 September 2017 240
 Haluan berbeza dua juara remaja dunia
Jaguh badminton Denmark, Viktor Axelsen, membuktikan dirinya kini antara pemain utama dunia.

Memenangi Kejohanan Dunia 2017 di Glasgow, Ogos lalu dengan menewaskan pemain utama China, Lin Dan 22-20, 21-16 melengkapkan kemahkotaan Axelsen di pentas utama dunia selepas muncul juara Remaja Dunia 2010. 

Ia mengambil Axelsen tujuh tahun untuk membentuk dirinya daripada juara remaja dunia kepada seorang juara dunia.

Saya terkejut melihat permainan Axelsen ketika dia mengalahkan pemain perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei, di final Siri Super Terbuka Jepun 24 September lalu. 

Pukulan smashnya begitu kencang dan tajam. Dia bergerak begitu pantas di atas gelanggang walaupun mempunyai ketinggian enam kaki empat inci. Permainan jaringnya juga hampir sempurna.

Saya pasti Axelsen, yang mendapat sentuhan peribadi jurulatih negara Datuk Misbun Sidek selama enam bulan sebelum ke Sukan Olimpik 2016 di Rio, di mana dia meraih pingat gangsa, akan mendominasi badminton dunia dalam tahun-tahun mendatang. 

Axelsen turut meneruskan tradisi Denmark yang sentiasa melahirkan jaguh-jaguh dunia seperti Peter Rasmussen, Morten Frost, Paul Erik Hoyer-Larsen, Peter Gade serta Kenneth Jonassen.

Berbanding Malaysia yang masih terus mencari pengganti Chong Wei yang hingga sekarang belum nampak siapa calon utamanya. 

Iskandar Zulkarnain sudah menceceh 26 tahun dan masih mencari tapak dalam perseorangan lelaki negara serta mencari identiti diri selepas kekecewaan di Sukan Sea 2017, bulan lalu. Apa yang menyedihkan serta mengecewakan Malaysia mempunyai bakat dan satu nama yang pasti disebut ialah Zulfadli Zulkifli.

Zulfadli muncul juara remaja dunia pada 2011 dengan menewaskan Axelsen di Taiwan. Dia memberikan harapan akan dapat menggantikan Chong Wei satu masa nanti. 

Malang sekali selepas enam tahun dan sudah mencecah usia 24 tahun, Zulfadli masih di awang-awangan. Tiada kejuaraan Siri Super hanya sekadar kejuaraan kecil Terbuka Russia dan Terbuka Brazil pada 2016 menjadi kebanggaannya. 

Kita boleh lihat bagaimana pembentukan dua juara remaja dunia antara Zulfadli serta Axelsen. Kita boleh buat perbandingan sendiri. Apa yang jelas jalan yang dipilih Axelsen memberikannya gelaran dunia dalam tempoh tujuh tahun pada usia 23 tahun. 

Bagi Zulfadli pula, laluan yang dipilih tidak menampak hasil yang lumayan dan umurnya makin hari makin meningkat. Zulfadli pernah ditawarkan untuk menjalani latihan di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tetapi memilih untuk berlatih sendiri.

Memang mudah untuk kita yang berada di luar gelanggang memberi pandangan tetapi pada saya, pemain itu sendiri yang harus memilih haluan kariernya. 

Apakah dia mahu menjadi juara dunia serta Olimpik atau sekadar cukup untuk menyelitkan nama dalam kejohanan kecil dan puas hati dengan mendapat undian pusingan pertama kejohanan besar? Bagi saya, ini yang membezakan antara juara sebenar dan pemain ala kadar.

Harap-harap, satu masa nanti Zulfadli akan turut merangkul gelaran juara dunia.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen