Hadi mampu sahut cabaran Liga J

Oleh Fadzrie Hazis 21 March 2018 3667
Hadi mampu sahut cabaran Liga J
Selama seminggu penulis berkelana di Fukuoka, Jepun bersama skuad B18 Tahun negara yang menyertai kejohanan jemputan remaja antarabangsa Piala Sanix yang berakhir Ahad lalu.

Sedar ia hanya kejohanan jemputan, pengendali barisan remaja negara, Bojan Hodak menggunakan peluang ini untuk menguji pemain-pemain baru untuk diserapkan ke skuad B19 Tahun negara.

Namun, ketika kejohanan ini berlangsung sebenarnya terdapat pencari bakat dari kelab-kelab Liga J memantau kelibat kapten dan penyerang utama skuad B18 Tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Empat kelab Jepun itu ialah Avispa Fukuoka, Sogun Tofu, FC Tokyo dan Vissel Kobe.

Minat empat kelab itu disuarakan kepada Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada.

Secara realistik penulis berasa kemungkinan jika ada antara kelab-kelab Liga J itu mahukan Hadi, dia kemungkinan akan terlebih dulu ditempatkan di skuad remaja mereka atau ke dipinjamkan ke kelab Liga J 2 atau J 3.

Sebelum ini, ketika penulis menemubual Hadi untuk laporan Nadi Arena dari Fukuoka dan Tokyo, pemain kelahiran Tanjung Malim itu menyuarakan kesediaan menerima bayaran gaji lebih rendah berbanding bayaran Liga M.

Hadi turut bersedia untuk beraksi bersama skuad remaja Liga J serta kelab bawahan Liga J.

Dengan kesediaan melakukan pengorbanan seperti itu, penulis percaya Hadi mempunyai sikap yang betul untuk berkelana di luar negara.

Dengan struktur fizikal yang baik buat seorang penyerang, tidak mengejutkan jika terdapat pencari bakat kelab Liga J di Piala Sanix menyuarakan minat terhadapnya.

Penulis berharap, adanya juga tindakan susulan dari FAM juga untuk menempatkan Hadi di Jepun.

Pendedahan awal yang diraih Hadi bersama kelab remaja yang sudah dibubarkan, Frenz United tampak berjaya membentuk kematangan pemain berusia 18 tahun ini.

Seawal usia 16 tahun, Hadi sudah beraksi dalam saingan Liga Perdana dengan melakukan 15 penampilan dan menjaringkan tiga gol buat JDT2.

Penulis yakin, jika impian Hadi ke Jepun menjadi kenyataan, dia mampu menjadi penyerang harapan Harimau Malaya sedikit masa lagi.

Dengan syarat, Hadi meningkatkan lagi permainannya dan sentiasa berusaha keras meningkatkan prestasi.

 Sebagai pemain muda, sudah pasti dia masih ada ruang untuk memperbaiki kelemahan yang ada dalam permainannya.

Penulis turut berharap, selain FAM akan terdapat juga sokongan dan bantuan pihak lain dalam menempatkan Hadi ke Jepun.

Pada pengamatan penulis, Hadi mempunyai potensi serta ramuan yang diperlukan untuk mencapai tahap tertinggi namun dia juga memerlukan sokongan.

Penulis juga berharap, Hadi turut belajar daripada kegagalan beberapa pemain kebangsaan sebelum ini dalam cubaan berkelana ke luar negara.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen