Gugur angkat berat

Oleh Bazly Azmi 21 May 2018 6579
Gugur angkat berat
"Kita terpaksa ambil langkah drastik apabila keadaan sudah tidak terkawal".

Walaupun saya banyak tidak setuju dengan pandangan chef-de-Mission (CDM) Sukan Asia Indonesia, Datuk Seri Abd Azim Mohd Zabidi - tetapi kali ini berbeza.

Beliau membawa usul angkat berat digugurkan daripada kontinjen negara ke Sukan Asia, Ogos depan kerana terlalu banyak kes doping.

"Jika kita bawa, saya bimbang maruah negara akan tercalar sekali lagi. Masalah ini sudah merebak hingga ke akar umbi," katanya.

Benar, atlet seawal 16 tahun sudah mengambil bahan terlarang jenis stanozolol. 

Bahan itu digunakan untuk meningkatkan pertumbuhan otot dan banyak digunakan atlet bina badan. 

"Setiap kali Sukan Malaysia (Sukma), pasti ada kes doping dan atlet paling banyak terbabit, angkat berat. Ini bermakna, mereka sudah menggunakannya di peringkat negeri.

"Peringkat negeri ialah akar umbi sukan Malaysia. Apakah mereka akan lupakan bahan ini jika terpilih mewakili negara?".

Saya hanya terdiam, mengangguk setuju. 

Walaupun mengenali Azroy Hazalwafie Ahmad Izhar (pingat emas Sukan Komanwel 2018), Mohd Hafifi Mansor (emas Sukan Komanwel 2014), Firdaus Abd Razak (gangsa Sukan Sea 2011) dan barisan legenda seperti Martin Guntali, Mohd Hidayat Hamidon, Amirul Hamizan Ibrahim dan Faizal Baharom - namun saya tidak dapat menghalang.

Ini langkah awal demi membersihkan imej angkat berat.

Saya fikir Pesuruhjaya Sukan juga perlu mengambil tindakan menggantung Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk tempoh tertentu bagi memastikan proses pembersihan secara besar-besaran ini dapat dilakukan secara menyeluruh.

Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) sudah menguji 18 atlet, minggu lalu.

Beberapa lagi ujian susulan akan dijalankan. Bilik penginapan asrama atlet di Majlis Sukan Negara akan dipantau dan dibuat pemeriksaan secara mengejut.

Nampak seperti kebudak-budakan tetapi inilah yang perlu dilakukan demi membersihkan imej angkat berat Malaysia yang dianggap sukan doping.

Sementara itu, gugurlah angkat berat ke Sukan Asia Indonesia. Biarlah ia jadi pengajaran kepada semua.

Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen