Gol yang dilepaskan Chee Keong

Oleh Rizal Hashim 28 February 2018 2382
Gol yang dilepaskan Chee Keong
Edisi ke-24 Pestabola Merdeka pada 1980 melekat dalam minda penulis.

Bola sepak Malaysia berada di puncak Asia.

Mana tidaknya, pada April tahun itu, skuad negara bimbingan Karl Weigang dan Mohamad Bakar mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik di Moscow, meskipun keputusan memulau temasya itu dibuat lebih awal.

Pada Septembernya pula, Malaysia bersaing pada pusingan akhir Piala Asia AFC di Kuwait, mencatat satu kemenangan, dua seri dan satu kalah 

Anak didik Mohamed Che Su menewaskan Emiriyah Arab Bersatu 2-0, mengikat Korea Selatan 1-1 dan Qatar dengan keputusan yang sama, tetapi tewas 1-3 kepada pasukan tuan rumah.

Maka mana-mana peminat bola sepak negara tentunya berpusu-pusu ke Stadium Merdeka pada Oktober-November 1980 untuk menyaksikan sendiri aksi bintang-bintang negara. 

Apatah lagi Mokhtar Dahari yang tidak terbabit dalam pra-Olimpik dan Piala Asia, keluar daripada persaraan, begitu juga penjaga gol yang berkelana ke Hong Kong, Chow Chee Keong, dipanggil semula bagi menemani Peter Rajah dan Lim Chuan Chin berikutan kecederaan yang dialami R. Arumugam dan Ong Yu Tiang.

Jaringan Hassan Sani dan penalti yang disempurnakan oleh Mokhtar memastikan Malaysia membuka tabir saingan dalam nota kemenangan dengan menewaskan Maghribi 2-0.

Namun keputusan itu diterbalikkan oleh Maghribi apabila kedua-dua negara bersua semula 18 hari kemudian, dalam final pada malam yang dingin tanggal 2 November 1980.

Penulis, dibawa ke stadium oleh bapa, berada di tempat duduk di belakang gol yang dikawal Chee Keong apabila Maghribi meledak jaringan kemenangan menerusi sepakan percuma Labid Khalifa pada minit ke-78.

Sepakan percuma itu dihadiahkan oleh pengadil Bill Munro selepas Zainal Abidin Hassan, bek kanan skuad negara yang baru berusia 17 tahun, menjatuhkan Fathi Abdelhak. Ketika barisan negara berkira-kira membentuk benteng untuk melindungi Chee Keong, tiba-tiba Khalifa melepaskan tendangan yang melengkung.

Stadium Merdeka sepi seketika. Semuanya berlaku di depan mata penulis. Penyokong pasukan negara tergamam dan kecewa.

Sedangkan mereka yang berada di stadium melayan angan-angan skuad negara  mempertahankan kejuaraan, apatah lagi kapten Soh Chin Aun menyamakan kedudukan pada minit ke-74 sesudah melakukan larian solo. 

Chee Keong yang tidak kempunan beraksi semua tujuh perlawanan sepanjang kempen itu, terpaksa akur kesilapannya menghadiahkan kemenangan kepada Maghribi, sebuah pasukan yang bukan calang-calang, mengambil kira hakikat Labid antara bek yang beraksi dalam Piala Dunia 1986.

Setahun kemudian, Chee Keong disenaraikan menyertai skuad pra-Piala Dunia di Kuwait – kempen yang dikenang sebagai Bencana di Kuwait.

Ingatan penulis terhadap Pestabola Merdeka 1980 kembali segar susulan pemergian Chee Keong yang meninggal dunia pada usia 69 tahun, genap seminggu lalu. 

EPISOD 2: Chee Keong jadi pelakon
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen