Giroud Malaysia dalam pembikinan

Oleh Shaiful Shamsudin 31 March 2019 17410
Giroud Malaysia dalam pembikinan
Tiada siapa pun yang menyangka kempen kelayakan Kejohanan AFC B-23 2020 negara akan berakhir dengan faktor teknikal yang agak mengelirukan. 

Malaysia ditunjukkan jalan keluar di sebalik pencapaian tanpa kalah dalam Kumpulan J apabila menamatkan kempen di belakang China. 

Tuan rumah edisi lalu itu bermandi peluh sebelum memastikan tiket ke pusingan akhir di Thailand tahun depan berikutan keputusan 2-2 dalam aksi terakhir kumpulan sudah memadai buat mereka. 

Masalah jentera serangan mengundang kegusaran utama skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu. 

Di sebalik kemenangan meyakinkan 3-0 dalam aksi pembukaan berdepan Filipina di Stadium Shah Alam, anak buah Kim Swee bagaimanapun bagaikan hilang taring ketika berdepan Laos sebelum pemain gantian, Safawi Rasid, menjamin gol kemenangan tipis 1-0 negara. 

Jelas sekali format kiraan ini tidak memihak skuad pelapis negara apabila gagal menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik naib juara kumpulan.

Begitupun, pentas ini juga boleh mencerminkan hala tuju bola sepak pada sedikit masa lagi. 

Kim Swee sememangnya terkenal kerana tidak takut untuk mengubah barisan pemainnya selepas satu-satu perlawanan. 

Sungguhpun Hadi Fayyadh Abdul Razak gagal menemui sentuhan jaringan dalam kempen kali ini, Kim Swee mempunyai sebab untuk tetap mengerah penyerang tinggi lampai itu bagi menjayakan formulanya. 

Hadi Fayyadh lebih menyerlah ketika berdepan China dengan berfungsi untuk menyimpan bola dengan baik sambil membenarkan rakan-rakannya mencari ruang dan mengatur gerakan. 

Gayanya mungkin tidak selincah Akhyar Rashid, apatah lagi dengan Faisal Halim, tetapi Hadi Fayyadh mempunyai tugas tertentu untuk mengucar-kacirkan pertahanan lawan. 

Sejak itu, peminat Malaysia mula melabel permainannya mirip penyerang Chelsea dan Perancis, Oliver Giroud. 

Selain itu, saya turut tertarik dengan karakter permainan Syamer Kutty Abba. 

Peranannya persis 'libero' yang sinonim pemain tersohor seperti Franz Beckenbauer atau setidak-tidaknya David Luiz yang cuba menghidupkan peranan itu.

Di Malaysia, bekas ketua pasukan Malaysia, Hairuddin Omar, pernah ditugaskan untuk memikul watak tersebut. 

Pada musim 2014, kubu ATM longlai dan situasi tersebut membuatkan jurulatihnya, B. Sathianathan, bertindak mengerah Hairuddin untuk membaca permainan di bahagian belakang dan sekiranya pasukannya mula selesa menguasai bola, dia akan beralih posisi ke bahagian tengah. 

Apapun, label ini hanya berasaskan kecenderungan corak permainan pemain itu sendiri manakala nama pemain handalan dunia dikaitkan untuk menjadi penanda arasnya. 

Perjalanan karier pemain skuad B-23 negara masih jauh dan apa yang kita mahu, kelompok pemain ini masih boleh bersaing dengan pasukan seperti China dan Korea Selatan di peringkat senior pula. 


 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen