Gaya dan penyampaian bukan pengganti sejati kepada kualiti

Oleh Rizal Hashim 1 February 2018 207
Gaya dan penyampaian bukan pengganti sejati kepada kualiti
DALAM dunia serba-serbi pantas, satu gajet boleh mengubah lanskap dan gaya hidup kita. Senjata utamanya kelajuan.
 
Kepantasan mendapat maklumat, berita dan visual dalam memenuhi kehendak adalah keutamaan bagi generasi muda.
 
Yang jelas, dengan hanya memegang gajet, peminat bola sepak yang kehausan menyaksikan debar dan getar perlawanan Liga M mampu memenuhi kehendak mereka susulan perjanjian di antara Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dan Iflix, penyedia perkhidmatan filem, program televisyen dan kini pengstriman secara langsung atas permintaan (on demand)
 
Pengstriman secara langsung membabitkan perlawananan Liga Super, Liga Premier dan Piala FA ibarat kandungan asli Iflix yang ditawarkan menerusi telefon pintar, komputer riba, tablet dan televisyen. Selain itu, ribuan rancangan televisyen dan filem boleh ditonton oleh pelanggan Iflix dengan kadar harga tidak melebihi RM20 sebulan.
 
Sesudah memasuki pasaran bola sepak Indonesia dengan menjalin kerjasama dengan saluran TVone tahun lalu, Iflix melakar perjanjian dengan FMLLP dengan menganggarkan minat yang sama meliputi peminat Malaysia.
 
Ia sebagai sebahagian strategi Iflix yang bersaing dengan penyedia VOD dari Amerika Syarikat, Netflix, yang sejauh ini masih berkira-kira sama ada mereka mahu melabur atau tidak dalam pengstriman secara langsung acara sukan.
 
Sebaliknya, Netflix menawarkan atas platformnya filem-filem berkaitan bola sepak seperti Summer of 92 (kisah Denmark menjuarai Euro’92), Trainer (mengenai kehidupan jurulatih), Becoming Zlatan (kisah hidup Ibrahimovic) dan The Class of 92 (di sebalik tabir kejayaan skuad remaja Manchester United).
 
Nampaknya pengstriman secara langsung akan mengambil alih kedudukan televisyen sebagai media arus paling perdana yang memenuhi kehendak pelanggan bila-bila masa sahaja.
 
Sebagai perbandingan, Perform Group yang berpangkalan di United Kingdom, menawarkan perkhidmatan siaran pengstriman sukan secara langsung dan atas permintaan menerusi DAZN yang diakses beberapa negara sahaja – Jerman, Austria, Switzerland, Kanada dan Jepun.
 
Namun pelaburannya bukan sedikit.
 
Perform Group membayar hampir RM6 bilion untuk tempoh 10 tahun bagi menyiarkan perlawanan Liga J - J1, J2 dan J3 - berbanding penyiar televisyen utama, Sky Perfect JSAT Holdings yang membayar hampir RM30 juta untuk hak siaran selama lima tahun.
 
Sebagai imbalan, Perform Group yang turut memiliki hak siaran Liga Perdana Inggeris, La Liga, Bundesliga dan Ligue Un, diberi hak pengedaran siaran Liga J kepada semua platform  atas talian dan televisyen satelit.
 
Generasi hari ini juga sudah biasa dengan Amazon yang menyiarkan NFL, atau NetCastSports dan Sportle serta Koora Online serta tidak terikat kepada kaedah konvesional untuk menonton acara sukan kegemaran mereka.
 
Jika penulis bergantung pada awalnya kepada laporan secara langsung radio atau  saluran televisyen hitam putih pada 1970-an dan televisyen swasta pada pertengahan 1980-an  dan laporan akhbar tengah hari, disusuli televisyen satelit berbayar pada era 1990-an, ledakan pengstriman secara langsung serta video atas permintaan membentuk citarasa penonton generasi milenial.
 
Pertama, mereka mempunyai terlalu banyak pilihan, mengikut citrasa masing-masing

Kedua, mereka tidak harus mengeluh pasukan kesayangan mereka terpinggir daripada siaran langsung.
 
Ketiga, mereka tidak perlu ke stadium.
 
Keempat, mereka mengakses perlawanan pada kadar harga yang berpatutan.
 
Kehadiran Iflix mengubah dimensi penyiaran bola sepak.
 
Dari sudut media dan hak siaran, syabas FMLLP kerana menyediakan kandungan yang ditunggu-tunggu di atas semua platform. Ini dijanjikan oleh FMLLP sejak 2015.
 
Selain Iflix, dua stesen televisyen free-to-air menyediakan empat saluran untuk siaran secara langsung.
 
Kini kita menanti pula pembuat dasar, pengurusan pasukan negeri dan kelab membuat anjakan paradigma seiring perkembangan teknologi.
 
Yang penting, kecanggihan teknologi bukan sekadar hiasan. Isi dalamnya – iaitu standard bola sepak negara – harus seiring dan diterajui kelompok individu yang canggih dari sudut pemikiran dan pelaksanaan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen