Gaji oh gaji 

Oleh Zulhelmi Zainal Azam 31 May 2018 2831
 Gaji oh gaji 
Diam tak diam kita sudah masuk pertengahan Ramadhan. Begitu pantas masa berlalu. Lagi dua minggu nak raya!

Umum tahu, beberapa pasukan Liga Malaysia kini sedang dihimpit dengan masalah tunggakan gaji pemain antaranya Kuantan FA, Perlis dan terbaru, Selangor.

Saya percaya ada lagi beberapa pasukan yang berdepan dengan masalah yang sama tetapi dalam usaha untuk menyelesaikannya ketika saingan liga sudah melewati aksi separuh musim.

Apa yang terjadi kepada pasukan gergasi seperti Selangor memang menyedihkan kerana difahamkan ia juga pernah berlaku sebelum ini, pada ketika pasukan itu mempunyai sejarah hebat dalam bola sepak di tanahair.

Menurut laporan akhbar tempatan semalam, Persatuan Bola Sepak Selangor FAS memerlukan kepimpinan baru setelah mereka bergelut untuk mengukuhkan kedudukan kewangan sehingga gagal melunaskan pembayaran gaji pemain selama dua bulan sejak Mac lalu.

Situasi genting itu sebenarnya memberi isyarat jelas bahawa Selangor perlu melakukan perubahan besar dalam persatuan itu sendiri selepas presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal menyuarakan hasrat untuk meletakkan jawatan.

Subahan sebenarnya seorang individu yang hebat dalam bola sepak di negeri itu berdasarkan rekod terdahulu yang berjaya menjulang pasukan ini di pelbagai peringkat bermula dengan skuad piala presiden.

Namun, mana mungkin dengan sumber kewangan terhad dan terpaksa bergerak sendiri, juara 33 kali Piala Malaysia ini disegani seperti dahulu dan tidak terpalit dengan isu tunggakan gaji.

Difahamkan kini, FAS memberi jaminan tunggakan gaji dua bulan pemain Selangor akan dilunaskan pada Jumaat selepas satu mesyuarat diadakan persatuan itu pada Khamis.

Ia sememangnya berita baik buat pemain pasukan itu termasuklah penyokong yang pastinya akan disajikan kebangkitan Selangor selepas gagal meraih kemenangan dalam empat perlawanan terakhir.

Namun, apa yang akan jadi lebih baik buat penyokong jika Raja Muda Selangor (Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah) menjadi presiden baru FAS yang dilihat sebagai sinar untuk Selangor keluar daripada segala kemelut ini. 
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen