Gagal ke Piala Dunia, Itali perlu revolusi baru

Oleh Syamil Izwan Azizan 14 November 2017 187
Gagal ke Piala Dunia, Itali perlu revolusi baru
Tidak dinafikan penulis sentiasa menanti untuk menyaksikan perlawanan membabitkan pasukan Itali pada saingan tertinggi bola sepak iaitu Piala Dunia.

Apatah lagi dengan reputasi mereka selaku juara dunia sebanyak 4 kali, ditambah dengan corak permainan yang tersendiri menambahkan lagi keinginan penulis bagi ikuti perlawanan membabitkan Azzurri.

Namun tahun hadapan di Rusia, kelibat mereka tidak akan kelihatan selepas skuad kendalian Gian Piero Ventura itu terkandas dalam pusingan play-off kelayakan zon Eropah, tumpas kepada Sweden.

Ini merupakan kali pertama Itali gagal ke Piala Dunia selepas menjadi antara "pelanggan tetap" kejohanan itu sejak 1962 dengan kali terakhir mereka alami situasi ini ialah pada edisi 1958 di Sweden.

Secara tidak langsung situasi ini juga menjadi simbol penamat karier di peringkat antarabangsa buat beberapa pemain, antaranya penjaga gol dan kapten, Gianluigi Buffon.

Selaku pemain paling senior dalam pasukan pada usia 39 tahun, kualiti kepimpinan yang dimiliki pemain Juventus ini banyak membantu pemain-pemain muda Itali untuk sesuaikan diri.

Malah dengan175 penampilan yang direkodkan bersama Itali, jumlah itu pastinya sukar untuk diatasi mana-mana pemain

Selain Buffon, beberapa lagi pemain senior juga akan menggantung but mereka di pentas antarabangsa seperti Andrea Barzagli, Daniel de Rossi serta Giorgio Chiellini, menandakan satu lagi era pemain penuh berkualiti sudahpun berakhir buat Itali.

Lantas kini menjadi misi buat Ventura untuk membina semula pasukan Itali dengan menyandarkan kepada barisan pemain-pemain muda untuk pastikan legasi Azzurri di pentas antarabangsa diteruskan.

Bagi posisi penjaga gol, Buffon sudah pasti tidak perlu bimbang kerana posisi itu pastinya akan diterajui dengan baik oleh Gianluigi Donnarumma yang ketika ini mewakili AC Milan.

Penulis yakin kegagalan ini akan menjadi pemangkin buat Itali untuk bangkit semula dengan tumpuan sudah pasti kejohanan Euro 2020.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen