Final Liga Juara Eropah.. Sejarah baru bakal tercipta

Oleh Zainal Abidin Rawop 24 May 2018 11440
Final Liga Juara Eropah.. Sejarah baru bakal tercipta
Memenangi sesuatu pertandingan atau menjulang piala setiap musim adalah lumrah selain menjadi kewajipan kepada kelab sebesar Real Madrid. 

Mereka tidak akan membiarkan kabinet piala mereka kosong tahun ini ditambah pula dengan kejayaan jiran terdekat Atletico Madrid yang menamatkan saingan La Liga di atas mereka serta berjaya menjulang Piala Liga Eropah mengalahkan Olympique Marseille minggu lalu, sudah pasti mencabar ego Real Madrid!

Setiap pengurus atau jurulatih Los Blancos yang dilantik wajib menghadiahkan sekurang – kurangnya satu kejuaraan atau mereka akan dianggap gagal.

Elemen – elemen lain yang perlu juga dilalui pengurus Real Madrid, seperti konsisten mencatat kemenangan selain mampu melayan ego pemain – pemain dan pihak pengurusan.

Berbeza pula dengan Liverpool pada era moden ini yang ketandusan kejuaraan dengan piala terakhir yang singgah di Anfield ialah Piala Liga Inggeris yang dimenangi pada 2012.

Justeru amat – amat penting bagi pengurus Liverpool Jurgen Klopp memulihkan semula imej kecemerlangan The Mighty Reds dengan memenangi final Liga Juara Eropah ini, biarpun rekod peribadinya di final tidak segah wataknya di tepi padang.

Sebelum ini Klopp bersama kelab lamanya Borussia Dortmund tewas kepada Bayern Munich pada final Liga Juara Eropah di Wembley pada 2013 sementara bersama Liverpool dia kecundang ditangan Manchester City di final Piala Liga dan Sevilla di final Piala Liga Eropah pada 2016.

Bermakna Klopp sendiri amat – amat memerlukan tuah mengiringinya pada penampilan ke 6 sepanjang kariernya sebagai pengurus di final ini.

Berbeza dengan Zinadine Zidane atau Zizou yang ceritanya lebih cemerlang selaku pemain. Bekas pemain termahal dunia selepas berhijrah dari Juventus ke Real Madrid itu sudah memiliki semuanya bermula dengan kejuaraan liga, liga eropah, Piala Negara Eropah dan Piala Dunia selain 3 kali ditabal selaku pemain terbaik FIFA dan sekali sebagai pemenang Balon’d Or.

Zidane menggantikan Rafa Benitez di Santiago Barnebeu pada 2016 selepas diberi peluang mengendalikan Real Madrid Castilla dan pembantu kepada Carlo Ancelotti sudah menyumbang 2 kejuara Liga Juara Eropah untuk Real Madrid.

Mengenai final ini nanti kedua – dua pasukan dianggap memiliki kekuatan dan kelemahan tersendiri.

Benteng terakhir dianggap antara kelemahan yang perlu ditutup Zidane dan Klopp kerana Kaylor Navas dan Loris Karius agak rapuh dan kurang berpengalaman di pentas final seperti ini.

Pertahanan Real Madrid juga agak goyah biarpun dibarisi pemain – pemain berpegalaman dan berpengaruh diketuai Sergio Ramos serta dibantu Raphael Varane dan Marcelo.

Sementara Liverpool pula pasti mengharapkan ketenangan pertahanan termahal dunia Virgil Van Dijk mengemudi Dejan Lovren dan Andy Robertson, manakala saya menjangkakan ia bakal menjadi malam yang panjang penuh ranjau bagi pertahanan muda England Trent Alexander Arnold di sebelah kanan.

Real Madrid ternyata memiliki ‘bunch of talents’ di bahagian tengah diketuai perancang Jerman Toni Kroos dan pemain tengah Croatia Luka Modric. 

Pilihan Liverpool pula agak terhad dengan masalah kecederaan Alex Oxlade Chamberlain serta kecergasan Adam Lallana dan Emre Can. Maka Klopp hanya akan bergantung hanya kepada trio, James Milner, Gino Wynaldum dan ketua pasukan Jordan Henderson.

Pemain tengah England itu sendiri mengakui bukanlah mudah untuk membawa aura yang pernah dipikul Steven Gerrard seperti di Istanbul 2005.

Zidane pula pasti tidak tidur lena membuat percaturan di bahagian depan dengan setakat ini sudah pasti hanya Cristiano Ronaldo sahaja yang telah mengesahkan tempatnya di dalam kesebelasan utama. CR7 sudah mengumpul 50 gol sepanjang musim ini ketika mewakili Portugal dan kelab.

Jadi ketika ini siapakah yang sesuai menemani Ronaldo di depan dengan prestasi Gareth Bale memuncak secara mendadak manakala Karem Benzema juga mampu menonjol pada perlawanan – perlawanan penting.

Sudah pasti gandingan 3 serangkai Liverpool bakal menjadi igauan kepada barisan pertahanan Real Madrid andai diberi banyak ruang.

Kerakusan Salah, Mane dan Firminho perlu dikekang kerana keupayaan mereka bergabung menghasilkan 29 gol daripada 46 jaringan sepanjang 14 perlawanan di eropah ini.

Mo Salah lagenda terbaharu Liverpool sendiri turut mengumpul 44 gol sepanjang musim menerusi kesemua pertandingan yang dilalui bersama Liverpool.
Bagi saya, final ini bukan sekadar pertarungan peribadi antara Ronaldo dan Salah kerana kedua – dua pemain ini pasti akan diikat sekaligus membuka ruang pemain – pemain lain untuk menyerlah.  Perhatikan Isco atau Wynaldum nanti.
 
Real Madrid sudah mengecap rekod kemenangan terbanyak tetapi Liverpool berazam mencipta legasi tersendiri.

Andai ada ruang lain macam – macam fakta yang boleh dikongsikan. Namun cukuplah sekadar ini dan layanlah Final Liga Juara Eropah 2018 dari Stadium Olimpiyskiy Kiev ini ketika kita di Malaysia seronok bersahur. Jangan lupa 2 rakaat sebelum menonton ye...

Saya hanya mengharapkan final yang menghiburkan selain mengidamkan kejayaan ke 6 dalam sejarah bakal tercipta di Kiev nanti.

You'll Never Walk Alone.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen