Fernandes padam rekod Lampard

Oleh Nafis Abdullah 16 April 2019 9198
Fernandes padam rekod Lampard
Sekiranya nama seorang pemain menjadi sebutan di seluruh Eropah sehingga membuatkan beberapa kelab besar mula mengidamkan khidmatnya, pasti ada sesuatu yang bernilai mengenai pemain tersebut.

Tidak terkecuali ia semestinya Bruno Fernandes, pemain kelahiran Maia, Portugal, yang kini merupakan antara pemain yang menjadi rebutan gergasi Eropah tatkala wujud laporan bahawa Manchester United, Juventus dan Paris Saint-Germain (PSG) sudah mula menghantar wakil untuk mengintai kelibat tonggak tengah Sporting Lisbon itu.

Lebih menarik, pemain yang telah melakukan 11 penampilan bersama skuad kebangsaan Portugal itu juga baru sahaja memecahkan rekod legenda Chelsea, Frank Lampard, Sabtu lalu apabila muncul selaku penjaring terbanyak dalam semusim buat seorang pemain tengah.

Dalam aksi berdepan Aves, Sabtu lalu, Fernandes meraih jaringan peribadi ke-28 musim ini, sekali gus membantu pasukannya kekal di tangga ketiga Liga Primeira sambil dia memintas rekod 27 gol milik Lampard.

Sebelum ini, Lampard memegang rekod tersebut selama sembilan tahun setelah melakukannya ketika musim 2009-10.

Catatan 28 gol itu juga membolehkan Fernandes mengatasi kempen terbaik yang dilalui musim lalu setelah menghasilkan 18 gol, setahun selepas berhijrah ke Portugal daripada kelab Serie A, Sampdoria.

Antara United, PSG dan Juve, The Red Devils dilihat paling serius dalam usaha untuk membawanya ke Old Trafford musim panas nanti.

Lebih menguatkan spekulasi itu, pemain tengah United kelahiran Sepanyol, Ander Herrera, dilaporkan bakal ke PSG menerusi perpindahan percuma sambil Fred masih bergelut untuk mencapai prestasi terbaik dalam musim sulung di England.

Ditambah dengan usia Nemanja Matic yang semakin meningkat, kehadiran Fernandes dijangka dapat memenuhi keinginan pengendali baru United, Ole Gunnar Solskjaer, yang mahu mengubah struktur pasukan itu bermula musim depan, termasuk melepaskan beberapa nama besar, termasuk Alexis Sanchez.

Jika Fernandes benar-benar ke Old Trafford, cabaran besar pastinya menanti pemain berusia 24 tahun itu. Sebabnya? Lihat sahaja prestasi United musim ini.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen