Federer keluar daripada bayang-bayang Sampras

Oleh Yeoh Li Ying 17 July 2017 135
Federer keluar daripada bayang-bayang Sampras
Lapan kejuaraan Wimbledon satu pencapaian cukup menakjubkan buat seorang legenda tenis bernama Roger Federer. 

Wimbledon juga pentas Federer mencipta nama ketika menang Grand Slam pertamanya pada 2003 ketika menewaskan pemain Australia, Mark Philippoussis.
 
Kejayaan kali ini, dalam final mengatasi Marin Cilic semalam, menyaksikan Federer kini pemain paling banyak merangkul kejuaraan di Wimbledon dengan lapan gelaran mengatasi rekod tujuh kejuaraan yang dipegangnya bersama Pete Sampras sebelum ini.
 
Sebagai seorang peminat Federer, saya akui tidak lagi yakin bintang Switzerland itu mampu merangkul sebarang gelaran Grand Slam selepas kali terakhir menyaksikan dia menang pada tahun 2012, juga di Wimbledon. 

Lima tahun tanpa sebarang kejuaraan Grand Slam dengan usia makin meningkat serta kedatangan pencabar hebat seperti Novak Djokovic dan Andy Murray, Federer dilihat sudah tidak lagi relevan dan kejuaraan Grand Slamnya akan terhenti setakat 17 gelaran.
 
Namun, siapa sangka, seperti perumpamaan ‘air yang tenang jangan disangka tiada buaya’. Selepas lima tahun terus mencuba, Federer akhirnya mendapat pulangan yang cukup berbaloi awal tahun ini ketika menjuarai Terbuka Australia untuk gelaran Grand Slam ke-18.
 
Titik kebangkitan menakjubkan ini harus dilihat kepada detik suram 2016 ketika dia bergelut dengan kecederaan belakang dan lutut. 

Kekalahan dalam separuh akhir Wimbledon 2016 kepada Milos Raonic dalam aksi lima set menyaksikan Federer mengambil keputusan untuk berehat sehingga penghujung tahun 2016 untuk benar-benar pulih dan bersiap-sedia untuk musim 2017.
 
Untuk memanjangkan lagi karier dalam sukan tenis menyaksikan Federer bijak memilih kejohanan untuk disertai dan ia cukup manis dengan kejayaan Terbuka Australia pada Januari dan disusuli dua kejayaan di Masters Miami dan Indian Wells pada Mac.
 
Sedar gelanggang tanah liat bukan kegemarannya, dia mengambil keputusan untuk berehat dan fokus kepada aksi di gelanggang rumput. 

Percaturan Federer ternyata berbaloi apabila dia mempamer aksi dalam kelas tersendiri sepanjang dua minggu beraksi di Wimbledon. 

Tujuh perlawanan diharungi tanpa tewas satu set pun! Itu sudah cukup untuk membuktikan pada usia hampir mencecah 36 tahun bulan depan, Federer masih kuasa besar sukan tenis.
 
Mungkin ada yang berasakan gelaran kelapan di Wimbledon adalah nasib tatkala lawannya, Marin Cilic, bergelut dengan kecederaan di tapak kaki yang menghalang pergerakannya. 

Namun, apa jua yang diperkatakan, hakikatnya ialah Federer bijak menggunakan peluang sebaik mungkin untuk membuktikan dia masih mampu bersaing dengan pemain yang jauh lebih muda daripadanya.
 
Gelaran kelapan Wimbledon, pemain paling tua menang di Wimbledon, rekod 19 kejuaraan Grand Slam, apa lagi yang Federer mampu lakukan? 

Mungkin gelaran Grand Slam ke-20 dalam Terbuka Amerika Syarikat, September depan? Sama-sama kita tunggu dan lihat! 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen