FAM iktiraf akademi bola sepak komuniti

Oleh Hasnizam Uzir 14 February 2019 231
FAM iktiraf akademi bola sepak komuniti
Ketika masyarakat bola sepak sedang sibuk memberi tumpuan kepada kerancakan dan kemeriahan liga bola sepak Malaysia di bawah kendalian Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pula menangani pelbagai isu yang membabitkan persatuan dan pemain, inilah realiti bola sepak Malaysia ketika ini.

Namun, di sebalik menangani isu-isu itu, FAM tidak lupa meneruskan perancangan yang dilakukan melalui “Road Map” yang dilancarkan hujung tahun lalu terutama membabitkan program-program akar umbi. 

Walaupun pada ketika ini FAM juga terlibat secara langsung bersama Majlis Sukan Negara (MSN) untuk Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), namun Unit Akar Umbi di bawah Jabatan Teknikal FAM tidak berdiam diri, sebaliknya terus aktif dalam menyalurkan maklumat dan info-info terkini kepada akademi-akademi komuniti peringkat akar umbi seluruh Malaysia.

FAM juga menyediakan satu progam yang mengiktiraf akademi bola sepak komuniti ini menjadi sehebat FAM yang dipanggil “Grassroots Charter” kerana setiap akademi bola sepak komuniti ini akan dikategorikan melalui sijil yang diberi seperti “emas, perak dan gangsa”.

Bagaimanapun, sebelum diiktiraf, akademi ini akan dinilai oleh ahli jawatankuasa kecil yang ditubuhkan oleh Unit Akar Umbi FAM. Penilaian akan diberi melalui kriteria yang disediakan oleh unit itu dan sekiranya berjaya, akademi bola sepak komuniti ini juga akan diletakkan dibawah persatuan negeri masing-masing.

Peluang ini perlu diambil sebaik mungkin oleh akademi bola sepak komuniti dalam memastikan setiap info terkini daripada Unit Akar Umbi FAM sampai kepada mereka. 

Dengan adanya pengiktirafan sebegini daripada FAM kepada akademi bola sepak komuniti, ia mengambarkan bahawa FAM mula serius dalam membangunkan bola sepak negara serta mengeratkan hubungan mesra dengan masyarakat bola sepak Malaysia selain dapat menerima info-info terus daripada peringkat akar umbi. 

Syabas dan tahniah kepada FAM yang terus aktif dalam menunjangi “Road Map” mereka dalam usaha memajukan bola sepak negara.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen