England mengamuk!

Oleh Burn Thevandran 16 October 2019 12368
England mengamuk!
Selepas kecewa tewas 1-2 dalam perlawanan berdepan Republik Czech, skuad kendalian Gareth Southgate itu bangkit dalam perlawanan kedua kelayakan Euro 2020 apabila membelasah Bulgaria 6-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Sofia, Bulgaria.

Biarpun diganggu masalah ejekan perkauman dari penyokong pihak lawan, namun fokus dan permainan di atas padang tidak sedikit pun terjejas buat England. The Three Lions tampil berbeza berbanding pada perlawanan berdepan Republik Czech.

Gareth Southgate menurunkan trio berbisa, iaitu gandingan Raheem Sterling, Harry Kane dan Marcus Rashford yang ternyata membuat pertahanan lawan terpaksa bekerja keras. Rashford membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh perlawanan dan selepas itu, gawang Bulgaria terus menerus dibolosi oleh sentuhan Raheem Sterling, Harry Kane dan Ross Barkley.

Pemain Chelsea, Ross Barkley, mempamerkan aksi yang begitu berkualiti dan tidak keterlaluan andai penulis mengatakan bahagian tengah England akan menyaksikan persaingan yang sangat sengit untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama. 

Southgate menggandingkan Jordan Henderson, Harry Winks dan Barkley sebelum memasukkan Jadon Sancho dan pemain muda, Mason Mount dalam separuh masa kedua.

Southgate turut memberikan kemunculan pertama kepada Tyrone Mings yang bergandingan dengan Harry Maguire di bahagian pertahanan. Pertahanan Aston Villa itu mendapat pujian Southgate yang perlu mencari gandingan Maguire memandangkan gandingan lama Maguire, Gary Cahill, semakin dimamah usia.

England kini membimbing kumpulan A dengan 15 mata diikuti Republik Czech 12 mata selain diikuti Kosovo, Montenegro dan Bulgaria.

Sekalipun masih belum mengesahkan tempat ke Euro 2020, namun peluang England dianggap cerah memandangkan mereka akan berdepan Montenegro dan Kosovo pada bulan depan. 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen