Empat aksi pertama penuh cabaran

Oleh Fadzrie Hazis 28 February 2018 2781
Empat aksi pertama penuh cabaran
Saingan Liga Super baru memasuki aksi keempat bagi setiap pasukan, namun bagi penulis musim 2018 seakan-akan lebih mencabar daripada musim lalu.

Johor Darul Takzim (JDT) menepati ramalan berada di puncak liga selepas empat perlawanan, namun tewas mengejut 1-0 kepada Kuala Lumpur dalam aksi ketiga.

PKNS FC yang mengetuai carta liga selepas aksi ketiga, tewas 4-3 di Shah Alam kepada Kedah yang menyaksikan mereka jatuh ke tangga keempat.

Pahang yang merakam kemenangan 3-1 ke atas Selangor dalam aksi keempat di Cheras minggu lalu, mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga liga selepas empat perlawanan.

Sementara itu, Terengganu FC kendalian Irfan Bakti Abu Salim, kekal pasukan tunggal tanpa sebarang kekalahan apabila menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Paroi Jumaat lalu dan menghuni tangga kedua liga.

Banyak juga isu luar padang yang melanda beberapa pasukan selepas aksi keempat Liga Super.

JDT, yang turun selaku juara empat kali Liga Super, kehilangan khidmat pengendali pasukan, Ulisses Morais, yang meletak jawatan dan penggempur import, Jorge Preyera Diaz, sekali lagi meninggalkan pasukan.

Namun, JDT jelas berpengalaman menangani masalah seperti ini dan pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, juga tanpa berselindung tampil di media sosial menjelaskan situasi sebenar kepada peminat setia Harimau Selatan.

Ia jelas satu pendekatan positif oleh JDT yang boleh dicontohi pengurusan pasukan lain bagi memastikan tiada pihak membuat spekulasi kurang tepat terhadap isu sebenar.

Penulis percaya, walaupun tanpa Morais dan Diaz, JDT tetap pilihan utama meraih kejuaraan liga kelima musim ini.

Di Kelantan, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sudah pun meleraikan ikatan dengan pengendali mereka sebelum ini, Santhit Bensoh, selepas hanya tiga perlawanan.

Dan kelibat pertama Yusri Che Lah selaku pemangku jurulatih memberi kesan positif apabila menewaskan Perak 3-2, Sabtu lalu.

Negeri Sembilan adalah pasukan ketiga yang melakukan pertukaran jurulatih apabila kembali mendapatkan sentuhan Azraai Khor Abdullah bagi menggantikan Jorg Steinebrunner.

Penulis menjangkakan akan ada lagi pasukan yang bakal meleraikan ikatan dengan jurulatih mereka dalam tempoh seminggu dua ini.

Jika berdasarkan kedudukan terkini liga, pengendali Kuala Lumpur, Fabio Maciel, seharusnya berasa risau dan perlu segera mencari formula terbaik menjana peningkatan pasukan.

Tidak mustahil Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur  (KLFA) mengambil tindakan drastik jika skuad warga kota kekal di tangga tercorot selepas aksi kelima atau keenam liga.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen