"Emak & ayah den orang Kuala Pilah" - Baddrol Bakhtiar

Oleh Akbar Sahari 5 October 2016 31449
Mungkin ramai yang dah tahu!

Tetapi saya tergamam seketika ketika mendengar jawapan spontan penyerang prolifik dan bekas kapten pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar dalam sesi temubual Radio Arena pada 3 Oktober lalu.


Ketika itu saya bertanyakan kepada Baddrol dan juga Khairul Fahmi Che Mat (penjaga gol Kelantan) tentang makanan kegemaran mereka di luar Kedah dan Kelantan.

Dengan spontan Baddrol menyebut masakan kegemarannya ialah masakan terkenal Negeri Sembilan iaitu masak lemak cili api. Dalam kehairanan saya mahu kepastian daripada Baddrol, kenapa dia gemar masakan Negeri Sembilan ?

Terpacul daripada mulutnya tentang ibu bapanya yang berasal dari daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Terlopong saya bagaikan tidak percaya kerana pertuturan Baddrol pekat dengan loghat utara!

Menurut Baddrol, ayahnya berasal dari Kampung Gemetir di Terachi manakala ibunya pula berasal dari Kampung Lanjut Manis di Tanjung Ipoh, kedua-dua kampung tersebut berada di daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Bermakna Bad merupakan anak jati Negeri Sembilan macam saya !

Tetapi dia dilahirkan di Sarawak kerana ayahnya merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia ( ATM ) dan sering dihantar bertugas di serata tanahair. Namun Bad dibesarkan serta mendapat pendidikan di Kedah iaitu negeri terakhir tempat ayahnya bertugas.

Sehingga kini Baddrol memilih untuk menetap di Kedah tetapi dia tetap pulang ke Kuala Pilah kerana sebahagian besar keluarga ibu-bapanya masih tinggal di Negeri Sembilan. Cuma dia tidak mampu untuk bertutur dalam loghat Negeri Sembilan dengan hanya boleh menutur perkataan 'den" ( saya ).

Di penghujung temubual saya sempat bertanyakan kepadanya, apakah dia akan menabur bakti bersama pasukan Negeri Sembilan ? 

Baddrol Bakhtiar hanya tersenyum. Senyum penuh makna !

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen