Elak aksi yo-yo bertemu Korea 

Oleh Mirnawan Nawawi 22 October 2018 145
Elak aksi yo-yo bertemu Korea 
Skuad hoki negara perlu memperkemaskan corak permainan untuk perlawanan ketiga Trofi Juara-Juara Asia menentang Korea Selatan di Kompleks Hoki Sultan Qaboos, Muscat, Oman, malam esok.

Ia berdasarkan prestasi yo-yo dalam dua perlawanan terdahulu walaupun skuad hoki negara berjaya mengutip enam mata penuh.

Anak-anak buah Roelant Oltmans bermula baik sewaktu aksi pembukaan selepas menewaskan Jepun 3-0 tetapi kemudiannya skuad hoki negara berdepan kesukaran untuk menembusi benteng Oman walaupun akhirnya tetap menang 3-1.

Oman menghuni No. 33 ranking dunia manakala Malaysian Tigers berada di kedudukan ke-12 dunia.

Kesilapan skuad hoki negara dalam perlawanan menentang tuan rumah itu ialah tidak memanfaatkan kesempatan untuk menjaringkan gol dalam setiap suku masa seperti dilakukan oleh India yang menang besar 11-0 ke atas lawan tersebut.

Beberapa aspek lain seperti sentuhan pertama, kawalan bola selepas menerima hantaran dan kreativiti mencipta serangan serta mencipta pukulan sudut penalti antara faktor yang menyukarkan para pemain melancarkan percubaan berbahaya ke arah gawang Oman.

Apa pun, misi skuad hoki negara dalam dua perlawanan awal tercapai iaitu enam mata maksimum dalam usaha melangkah ke peringkat separuh akhir.

Lawan seterusnya iaitu Korea Selatan juga bukan calang-calang pasukan walaupun mereka sudah tewas dua perlawanan berturut-turut setakat ini.

Saya percaya Korea Selatan sudah tentu tidak rela mengalami kekalahan ketiga berturut-turut, apatah lagi ia berlaku di tangan skuad hoki negara.

Berdasarkan rekod pertemuan sejak kebelakangan ini, Korea Selatan sentiasa menyajikan tentangan sengit kepada Malaysian Tigers.

Jika skuad hoki negara memperbaiki beberapa kelemahan yang sudah dikenal pasti, nescaya mereka tidak menghadapi masalah besar untuk mengekalkan rekod kemenangan bersih setakat ini.

Ia berfaktorkan kecemerlangan prestasi barisan serangan diketuai Faizal Saari, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil dan Muhammad Firhan Ashari.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen