Dunia badminton masih mahu sistem mata 21x3

Oleh Adam Zamri 21 May 2018 1584
 Dunia badminton masih mahu sistem mata 21x3
Desas-desus untuk melihat sama ada badminton akan buat sekian kalinya mengalami perubahan akhirnya terlerai selepas ahli majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang bersidang di Bangkok pada Sabtu lalu memutuskan format kiraan 21 mata masih kekal.

Biarpun 129 ahli mengundi untuk menukar sistem kiraan mata sedia ada, baki 123 ahli tidak bersetuju sekaligus menyaksikan keputusan untuk menjadikan badminton ke format baru 11x5 tidak mendapat 2/3 undian majoriti.

Ternyata ia satu keputusan yang melegakan buat kesemua barisan pemain dengan rata-rata kurang bersetuju dengan format baru diperkenalkan BWF.

Sejak sukan ini wujud pada 1873 lagi, badminton telah pun mengalami evolusi sistem mata. Pada permulaanya, sistem mata yang konvensional diguna pakai ialah 15 mata kecuali untuk perseorangan wanita, perlawanan hanya akan berlarutan sehingga 11 mata sahaja. Namun sistem ini menjadikan perlawanan terlalu lama.

Sehinggalah 2002, Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) ketika itu melaksanakan satu uji kaji terhadap sukan ini dengan menerapkan sistem tujuh mata yang dimainkan untuk lima perlawanan.

Ia bertujuan menjadikan badminton lebih menarik untuk ditonton dengan durasi perlawanan tidak terlalu panjang, khususnya ketika siaran langsung diadakan selain meningkatkan taraf komersil sukan ini. Namun, ia menghadirkan banyak pertikaian dalam kalangan pemain dan sistem ini tidak terus digunapakai, sebaliknya menggunakan kembali sistem mata yang lama. Kali terakhir 7x5 mata digunakan adalah dalam Sukan Komanwel 2002 di Manchester.

Kemudiannya pada Ogos 2006, sistem 21x3 diperkenalkan kepada dunia. Sistem ini tampak sesuai dan menjadikan badminton bukan sahaja mencabar kepada para pemain, malah melahirkan rasa keterujaan kepada penonton.

12 tahun selepas ia diperkenalkan, BWF sekali lagi cuba mengubah lanskap badminton dunia dengan mahu terapkan sistem 11x5 mata. Malahan diberikan tempoh percubaan untuk beberapa negara ahli.

Malaysia cuba melaksanakan ketika dalam Kejohanan Badminton Antarabangsa Malaysia bawah 19 tahun di Terengganu pada September 2016. Selain itu, saingan Badminton Purple League juga menerapkan sistem yang sama namun para pemain khususnya kurang menggemarinya kerana masa yang terlalu singkat.

Biarpun dalam sukan raket, badminton masih belum dapat menandingi populariti tenis, namun jangan disebabkan itu, pelbagai aspek yang menjadikan identiti sukan badminton itu seronok digadaikan. 

Kini dunia badminton masih boleh bertenang apabila sistem 21x3 masih akan diteruskan.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen