Dua singa dibaham harimau dalam satu hari

Oleh Nur Amira Ibrahim 17 August 2017 126
Dua singa dibaham harimau dalam satu hari
Hari Rabu yang cukup manis untuk Malaysia, permulaan menarik sebelum hari pembukaan rasmi yang akan berlangsung pada 19 Ogos ini. 

Kenapa manis? Sebab ada tiga acara sukan memberi keceriaan kepada penyokong Malaysia pada 16 Ogos di mana sudah pasti pingat emas pertama Malaysia diraih daripada acara chinlone. 

Cemburu juga saya dibuatnya sebagai wartawan Nadi Arena apabila menyaksikan rakan setugas, Adam Zamri menjadi individu pertama dapat membuat liputan mengenai pingat emas itu. 

Tetapi, hari saya diisi dengan kemenangan skuad bola jaring negara ke atas Singapura pada perlawanan ketiga yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara untuk Malaysia mara awal ke separuh akhir

Walaupun ia masih lagi perlawanan di peringkat awal, tetapi yang menariknya di sini, stadium begitu meriah dengan kehadiran penyokong seolah-olah perlawanan semalam adalah final. 

Apa tidaknya, sewaktu final dalam Sukan Sea 2015, pertempuran antara Singapura dan Malaysia begitu sengit yang membezakan hanya tiga jaringan sebelum Malaysia tewas dengan keputusan 43-46 selaku naib juara. Tetapi kali ini mereka menang dengan 50-37. 

Pada sebelah malam pula, sekali lagi Singa dibaham Harimau apabila skuad bola sepak bawah 22 tahun turut berjaya menundukkan pasukan Singapura 2-1. 

Stadium Shah Alam yang dibanjiri penyokong Malaysia dan Singapura masing-masing tidak keruan menyaksikan aksi penuh mendebarkan itu tatkala Singapura terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah dengan gol sulung  Amiruldin Mohd Nordin. 

Tetapi yang menjadikan aksi lebih dramatik apabila pemain negara, Norazam Azih akhirnya menyamakan kedudukan sebelum N.Thanabalan menambah lagi jaringan untuk Malaysia menang 2-1. 

Bagi saya, tiga acara ini meniti di bibir rakyat Malaysia sepanjang ia berlangsung dan sudah pasti, debaran untuk aksi-aksi seterusnya sentiasa dinantikan oleh rakyat Malaysia dalam temasya Sukan Sea Kuala Lumpur. 

Ayuh Malaysiaku!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen