Dohmen umpama 'mati hidup semula'

Oleh Mirnawan Nawawi 26 May 2019 1125
Dohmen umpama 'mati hidup semula'
Bekas kapten Belgium, John-John Dohmen, meraikan kepulangannya dengan penuh  bergaya selepas lima bulan 'bersara' seketika daripada bersama skuad The Red Lions itu.

Pemain tengah berusia 31 tahun itu berjaya menjaringkan dua gol dalam penampilan pertamanya  bersama Belgium sejak Piala Dunia 2018 dalam kemenangan 4-0 ke atas Great Britain pada aksi FIH Pro League di Pusat Hoki Lee Valley, London minggu lalu.

Pada awal Disember lalu, Dohmen terpaksa menarik diri daripada skuad Piala Dunia 2018 Belgium selepas disahkan menghidap radang paru-paru dan perlu dirawat segera.

Saya tertarik dengan tahap profesional dan semangat juang tinggi ditunjukkan Dohmen meskipun mengalami masalah kesihatan yang dilaporkan mampu meragut nyawanya.

Pemain yang pernah meraih pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu tidak menunggu lama untuk kembali berlatih bersama rakan-rakan sepasukannya dua minggu pada Januari lalu.

Saya difahamkan Dohmen berlatih kerana mahu keadaan fizikalnya berada pada tahap terbaik walaupun dia tidak akan tersenarai dalam skuad Belgium bermain beberapa siri jelajah pasukan ranking pertama dunia itu.

Ketika itu, Dohmen belum mendapat 'lampu hijau' untuk beraksi kerana dia dikatakan masih mengambil ubat-ubatan terlarang yang berada dalam senarai ujian doping.

Dia perlu mengambil dos ubat yang tinggi sebagai salah satu proses pemulihannya.

Kesabaran Dohmen akhirnya membuahkan hasil apabila dia kini kembali menyarung jersi The Red Lions untuk membantu negaranya meraih slot ke kelayakan akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Saya percaya Dohmen pasti akan meledak lebih banyak gol lagi dalam saingan FIH Pro League selepas ini terutama sekali apabila Belgium akan menghadapi akai aksi seterusnya di laman sendiri, Antwerp menentang Great Britain hujung minggu ini.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen