Doa kami mengiringi jurulatih Poad Md Kassim

Oleh Nur Amira Ibrahim 26 December 2017 344
Doa kami mengiringi jurulatih Poad Md Kassim

Satu arena olahraga begitu terkejut dengan berita yang diterima berhubung kesihatan jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim yang kini terlantar di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru kerana jangkitan kuman di paru-paru. 

Siapa sangka jurulatih yang begitu periang, peramah dan berjiwa besar itu terpaksa berdepan dugaan hebat sedemikian tatkala anak buahnya seperti Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisham Abdul Manap kini sedang giat mempersiapkan diri bagi menghadapi temasya besar pada tahun hadapan. 

Berita pertama yang kami terima adalah menerusi laman media sosial Instagram Khairul Hafiz sendiri yang meminta agar rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan jurulatih yang telah banyak berjasa kepadanya selama ini. Jelasnya lagi di laman Instagram, Poad terpaksa diletak dalam keadaan koma kerana doktor memberitahu jangkitan kuman di paru-paru makin merebak. Namun masih tiada lagi perkembangan terkini mengenai perkara itu. 

Tiada ungkapan yang dapat dihuraikan setakat ini di mana Khairul ketika dihubungi juga seakan-akan hilang kata-kata untuk menggambarkan situasi yang sedang dihadapi oleh Poad. 

Saya yakin seluruh rakyat Malaysia mengenali jurulatih yang telah berjaya membawa pelari pecut Khairul Hafiz menamatkan kemarau 14 tahun untuk bergelar raja pecut Asia Tenggara di pentas Sukan Sea Ogos lalu. 

Justeru, marilah kita sama-sama luangkan sedikit masa untuk mendoakan kesihatan Poad agar dia sihat seperti sediakala dan kuat semangat agar mampu meneruskan tanggungjawab mendidik dan melatih anak buahnya menjelang tahun 2018. 

Doa kami mengiringi jurulatih Poad. InsyaAllah! 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen