Diva atau atlet berkarakter?

Oleh 28 May 2019 148
Diva atau atlet berkarakter?
Banyak yang sudah diperkatakan mengenai Syakilla Salni Jefry Krisnan. Namun, tidak adil juga jika atlet karate ini tidak diberi ruang mengutarakan pendapat dan penjelasan.

Melalui salinan temu bual tiga bahagian ini dalam Analisis Nadi Arena malam tadi, wartawan, BAZLY AZMI, mendapatkan jawapan daripada atlet diva negara ini hasil 30 minit bersemuka dengannya.

Anda mendapat jurulatih seperti diminta daripada menteri dan Majlis Sukan Negara (MSN)?

Syakilla: Dapat jurulatih, Andris (Vasiljevs), suatu yang positif sebab saya boleh buat persiapan untuk kelayakan Olimpik.

Dilaporkan anda ada berjumpa Menteri (Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman)?

Syakilla: Ya saya ada berjumpa YB tapi bukan selepas insiden terbaru ini. Saya jumpa selepas saya balik dari Amsterdam (Mac lalu). Itu kali pertama dan terakhir saya berjumpa YB bersama dengan Datuk Shapawi (Ismail, Ketua Pengarah MSN).

Banyak isu babitkan anda dalam tempoh satu atau dua bulan kebelakangan ini, antaranya membabitkan isu berat badan. Sejauh mana Vasiljevs mampu menurunkan berat badan selepas anda berlatih dengannya dalam tempoh beberapa hari ini?

Syakilla: Saya berlatih di bawah dia baru satu sesi, baru 3-4 hari lepas saya berlatih dua sesi. Setiap sesi saya boleh turun sampai 2kg

Kenapa sebelum ini tidak boleh melakukannya bersama Institut Sukan Negara (ISN)?

Syakilla: Setiap tubuh manusia beri tindak balas berbeza. Untuk saya, kena ada latihan berkeamatan tinggi. Satu hari saya berlatih enam hingga tujuh jam -- itu keperluan tubuh saya.

Pihak ISN tidak memahami corak latihan dan apa yang anda perlu untuk turunkan berat badan?

Syakilla: ISN faham apa yang saya nak tapi waktu itu saya tidak ada rakan berlatih atau jurulatih. Kerana itu, saya tidak mendapat latihan kemahiran. Dengan latihan kemahiran, saya boleh turun sampai 2kg.

Masalah anda ini mencerminkan sikap seseorang atlet di Malaysia. Bagaimana anda meminta banyak perkara, sama ada dengan menteri, MSN, ISN, Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) walhal perkara itu tidak diperoleh atlet lain dalam skuad karate negara. Adakah anda fikir apa yang anda lakukan selama ini satu tindakan yang betul?

Syakilla:  Bagi saya, ia satu tindakan yang betul sebab saya tak minta benda yang tak relevan. Saya hanya minta jurulatih lama saya, itu perkara utama yang saya minta daripada MSN.

Jurulatih yang sebelum ini ditamatkan kontrak kerana anda tidak ada pencapaian ketika 2017 dan 2018?

Syakilla: Tak. Dia ditamatkan kontrak kerana kita tidak ada pencapaian dalam Sukan Asia. Tapi sebelum itu, kita ada banyak pencapaian. Pada tahun yang sama dengan Sukan Asia, saya ada menang Paris K1 dan tak ada atlet lain yang menang. Sebabkan dia saya menang, termasuk K1 Rabat. Beberapa lagi kejohanan Liga Perdana, kami menang walaupun sebelum ini, tiada atlet dalam 50 teratas.

Anda hendak mengatakan anda seorang atlet yang istimewa, pernah berada di ranking pertama dunia pada 2016, menang K1 Rabat 2018?

Syakilla: Disebabkan saya menjalani pembedahan siku, saya tiada banyak pertandingan pada 2017. Pertandingan pertama saya ialah Sukan Perpaduan Negara Islam di Baku dan Sukan SEA. Jadi, bagaimana MAKAF mengatakan saya tidak mempunyai pencapaian?

Anda dah menyalahkan persatuan pula mengenai masalah yang anda hadapi?

Syakilla: Tak, saya tak salahkan persatuan tapi persatuan tidak mendengar apa yang atlet nak. Sebagai atlet, kita yang tahu apa yang kita nak ketika pertandingan. Jurulatih mana yang sesuai untuk kita – kita dah berlatih tujuh tahun dan dalam masa dua tahun terakhir adalah yang paling penting buat kami kerana ia tahun kelayakan (ke Olimpik). Tak kan tahun ni nak tukar jurulatih baru.

Awal 2018, anda menang K1 di Paris, kemudian prestasi tidak menentu sehingga Sukan Asia apabila kalah pusingan pertama, kalah repechage. Dalam tempoh selepas K1 itu, apa yang berlaku? Kenapa anda tidak mampu mengekalkan prestasi anda sehingga Sukan Asia?

Syakilla: Sudah tentu berlaku isu-isu peribadi, psikologis saya pun tahu. Kami cuba memperbetulkannya satu demi satu. Sebelum Sukan Asia, saya tercedera dan hanya sebulan dalam latihan penuh. Dalam tempoh sebulan itu, saya berlawan dengan atlet ranking no. 1 Sukan Asia. Walaupun saya kalah 1-1 dan dia menang atas ‘point advantage’, kenapa itu tidak dianggap satu prestasi yang baik.

Tapi anda adalah harapan pingat. Kalah pusingan pertama, tidak kiralah keputusannya berapa, repechage juga kalah di Sukan Asia, jadi anda masih mengatakan anda mempamer aksi yang baik di Sukan Asia walaupun reputasi sebagai pembawa bendera negara?

Syakilla: Saya tidak faham saya adalah prospek pingat tapi pada detik itu, bukan semua atlet akan berada di puncak. Anda pun tahu sebelum Sukan Asia, tiada sebarang pertandingan untuk saya.

Masalahnya ialah berat badan anda kerana beberapa bulan sebelum Sukan Asia, anda menarik diri daripada Kejohanan AKF (Persekutuan Karate Asia) di Jordan, kejohanan pertama menawarkan mata kelayakan Olimpik. Selepas AKF, anda tidak sempat beraksi untuk menurunkan berat badan, masalah di situ timbul. Jadi, masalahnya bukan kerana persiapan tidak cukup tapi berat badan anda melebihi daripada kategori 55kg.

Syakilla: Untuk AKF, ya saya tak lepas untuk berat badan 55kg. Tapi ia bukan isu di sebalik ramai beranggapan masalah berat badan adalah satu isu besar.

Selama ini, anda berjuang untuk dapatkan kategori 55kg tapi sekarang anda kata berat badan bukan satu isu. Ini sesuatu yang berbeza daripada kenyataan anda sendiri.

Syakilla: Ya, seperti saya sebutkan sebelum ini, saya hanya perlukan latihan yang betul. Sebelum inipun, saya pergi ke pertandingan dengan 5kg melebihi berat badan. Tapi dalam masa seminggu, saya boleh turun 5kg sebab saya ada pelan latihan yang bertepatan.

(BERSAMBUNG)

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen