Dipolitikkan punca perpisahan?

Oleh Zulhelmi Zainal Azam 16 March 2019 7529
Dipolitikkan punca perpisahan?
Langkah drastik Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menamatkan kontrak penajaan bersama Telekom Malaysia TM mengejutkan ramai pihak tetapi sehingga kini masih belum jelas mengenai punca hubungan kedua-dua pihak terlerai.

Jodoh MFL dan TM hanya bertahan setahun dua bulan selepas kedua-dua pihak memeterai perjanjian untuk tempoh lapan tahun pada 29 Januari lalu dengan nilai tajaan RM480 juta.

Timbul persoalan, apakah faktor hubungan mereka terlerai dalam tempoh singkat?

MFL mendakwa ia berikutankegagalan syarikat telekomunikasi negara itu menjelaskan bayaran penajaan musim ini.

Namun, jika diperhalusi titah pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang dibacakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, seolah terdapat sebab lain.
 
”Sejujurnya saya kecewa dengan tindakan TM dan kita dapat melihat bahawa ada perubahan drastik dalam dalam urusan kontrak bersama MFL yang bermula Mei tahun lepas.

“Saya sendiri tak menjangka TM akan melakukan perkara ini kepada bola sepak Malaysia yang sudah menjadi seakan nadi seharian puluhan juta rakyat Malaysia.

“Kami tahu mungkin kerajaan atau TM mempunyai keutamaan lain tapi mereka tidak boleh membiarkan sukan nombor satu negara yang menyatukan negara menderita kerana tindakan ini. Inilah yang akan berlaku apabila sukan dipolitikkan.

“Namun, kita akan cuba sebaik mungkin untuk terus maju tanpa mereka kerana bola sepak ini adalah milik rakyat. Kita masih ada penaja dan pelabur daripada pihak-pihak lain yang bersama kami dan ada penaja baru yang akan muncul. Itu sudah pasti,” titah baginda.

Dalam masa yang sama, Tunku Ismail meminta semua pihak khususnya pemegang taruh MFL yang terdiri daripada 24 pasukan Liga Malaysia tidak bimbang di sebalik penamatan kontrak penajaan TM tersebut.

Pada era 90an dikatakan zaman kegemilangan Liga Malaysia, namun sejak berakhirnya jodoh Dunhill dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kualiti Liga M menurun.

Sememangnya, semua pemegang taruh liga tidak mahu pisang berbuah dua kali setelah kehilangan TM selaku penaja utama liga.

Jadi mahu tidak mahu, MFL seperti yang disarankan Tunku Ismail perlu segera mendapatkan penaja utama baru bagi meneruskan kelangsungan saingan musim ini.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen