Di mana kan ku cari ganti

Oleh Zainal Abidin Rawop 14 January 2019 1604
Di mana kan ku cari ganti
Satu-satunya 'assignment’ yang disertai pasukan yang dihantar Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang berjaya adalah menerusi pemain–pemain remaja negara yang mencetak satu rekod paling cemerlang apabila pulang dengan pingat emas dari Sukan Olimpik Remaja di Argentina.

Biarpun hanya pertandingan lima sebelah namun terdapat pemain–pemain yang begitu menonjol dan seharusnya bakal menjadi tonggak pasukan kebangsaan bermula 2019.

Bintang yang menyinar di Buenos Aires adalah Akhimullah Anuar Esook, Amirul Hamizan Azahar, Syarman Mat Tee, Mohd Rosdi dan Muhammad Muhibuddin.

Saya ulangi pendirian ini apabila sepanjang tiga tahun lalu sejujurnya saya belum nampak kemunculan seorang pemain muda yang boleh dinobat sebagai ‘bintang’ dalam pembikinan sehingga terpaksa menagih ‘kudrat lama’.

KHM muncul persatuan sukan yang terawal membuka tirai 2019 tempatan dengan penganjuran Liga Hoki Malaysia (LHM), walaupun hanya disertai emam pasukan.

Namun agak mengecewakan buat sekian kalinya pertandingan yang sepatutnya menjadi platform melahirkan pemain–pemain ke peringkat antarabangsa semakin menguncup dengan penarikkan diri Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), kelab yang begitu sinonim dengan Liga Kebangsaan sebelum ini.

Saya bersama–sama peminat–peminat hoki Negara sudah pasti ternanti–nanti dan tertunggu-tunggu untuk melihat kemunculan pengganti kepada Razie Abdul Rahim atau Faizal Saari selaku ‘flicker’ utama Negara.

Juga mengharapkan ada bayang–bayang pengganti kepada kelincahan Fitri Saari dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

Cuma setakat ini sedikit melegakan telah muncul beberapa penjaga gol berbakat biarpun S.Kumar masih kekal unggul dan kebal.

Memang agak mengejutkan, namun bagi sesetengah pihak menakjubkan, apabila begitu ramai pemain–pemain senior masih mahu meneruskan perjuangan di peringkat antarabangsa selepas episod malang di Jakarta dan India.

Jiwa kental mereka memburu destinasi Tokyo 2020, iaitu penampilan Olimpik pertama dan terakhir sepanjang karier mereka.

Pusingan kelayakan yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada April adalah peluang terbaik untuk beraksi di pentas Olimpik yang kali terakhir disertai pada tahun 2000 di Sydney.

Oltmans sudah pasti tidak dibayar murah, maka pergunakanlah beliau sebaik mungkin selain menimba seberapa banyak ilmu darinya. Manakala fungsi Terry Walsh sebagai Pengarah Teknikal pula dipersoalkan selepas dilihat gagal membantu Stephen Van Huizen di Gold Coast mahupun Jakarta.

Kedua–duanya adalah tokoh hoki yang disegani, justeru rugi sebenarnya andai pemain–pemain negara masih berasa selesa di zon mereka atas alasan tiada ‘cabaran’ dari pemain–pemain baharu.

Jadikanlah iktibar bagaimana kebangkitan Perancis dan Belgium dalam Piala Dunia lalu sebagai azimat manakala tiada gunanya juga memiliki ranking yang lebih tinggi daripada Pakistan, namun tidak pernah mampu mengalahkan bekas juara dunia itu.

Awasi juga China dan Jepun selain menanti kebangkitan semula Korea Selatan di pentas Asia ini. Skuad Hoki Negara bakal dihidangkan peluang kedua untuk ke Olimpik 2020 April nanti, jadi, janganlah melepas lagi ye…

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen