Di antara Harith Iskander dan skuad bola negara

Oleh Hishamuddin Aun 30 May 2016 111
Di antara Harith Iskander dan skuad bola negara
Ia semestinya bukan satu kebetulan untuk program sulung “Obviously… Harith Iskander” di Astro Awani dan siaran langsung perlawanan persahabatan Myanmar menentang Malaysia di Astro Arena ke udara pada malam yang sama, malam minggu lalu.

Harus ia amat dialu-alukan juga untuk kedua-duanya bersiaran secara berturutan – didahului oleh perlawanan bola sepak itu – dan bukan serentak yang akan membuat penonton berbelah-bahagi untuk menonton yang mana satu.

Selama berhari-hari sebelumnya, Astro Awani menguar-uarkan malam minggu anda tidak akan sama lagi gara-gara celoteh Harith yang lucu dan sinis ala-ala ‘The Late Night Show’ yang sangat popular, sama ada bersama pengacara David Letterman, Jimmy Fallon, Stephen Colbert, James Corden, Seth Meyers mahupun Jay Leno.

Berhari-hari juga sebelumnya jurulatih skuad bola sepak Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, mencanangkan peri pentingnya pertemuan dengan Myanmar itu dalam mempersiapkan pasukan menjelang perlawanan play-off kelayakan Piala Asia menentang Timor Leste pada 2 dan 6 Jun ini di Stadium Larkin.

Malah, Myanmar turut tersenarai antara batu loncatan buat Harimau Malaysia untuk memperbaiki ranking dunianya!

Entah kebetulan atau tidak, Harith dalam episod sulungnya yang ke udara mulai jam 9.30 malam itu (bukan siaran langsung) tidak ketinggalan mempersendakan pasukan bola negara yang tergolong antara barisan hambar seperti Queen’s Park Rangers (QPR) milik Tan Sri Tony Fernandes -- salah seorang tetamunya dalam program itu.

Dengan ke udaranya “Obviously… Harith Iskander”, ia seakan-akan bertepatan untuk meredakan kekecewaan peminat bola sepak yang sebelum itu disajikan aksi hambar Harimau Malaysia yang hanya mampu seri 0-0 dengan barisan muda Myanmar – rata-rata dibarisi pemain dari skuad bawah 19 tahunnya -- di Stadium Thuwanna, Yangon.

Cukup-cukuplah dengan Harimau Malaysia, kata hati ini, kerana Harith harus lebih menghiburkan dengan anekdot dan usikannya berbanding anak didik Kim Swee yang terus terkial-kial di antara mahu menyerang, bertahan atau menghalakan bola secara membabi-buta.

Harus juga tidak salah komen-komen sinis melalui laman-laman sosial yang meluahkan rasa meradang  peminat terhadap ‘barisan pemain bola sepak hartawan’ ini yang bergaji lumayan dalam liga tempatan tetapi prestasi di peringkat antarabangsa sangat ‘miskin skil dan muflis idea’.

Dibandingkan dengan budak-budak belasan tahun Myanmar, perbandingan status mereka harus umpama langit dengan bumi. Tapi papan keputusan tidak berbohong apabila apa yang tertera pada wisel penamat ialah Myanmar 0 Malaysia 0.

Satu komen nakal tapi harus tersirat pengajaran yang sangat mengguris hati menerusi Facebook ialah keputusan itu bermaksud kepada kosong kesilapan dan kekurangan di pihak Myanmar dan kosong daya usaha dan daya cipta di pihak Malaysia.

Pernah saya diceritakan oleh seorang bekas pemain kebangsaan – bekas pengulas di Astro Arena – bagaimana ketika zamannya mewakili Malaysia, pemain-pemain Myanmar akan mendatanginya serta rakan sepasukan pada penghujung perlawanan sambil merayu-rayu untuk diberikan kasut bola berjenama yang dipakai mereka sebagai cenderahati.

Tapi itu pasukan Myanmar yang dulu-dulu. Myanmar yang sekarang mungkin tidak memandang tinggi kepada pasukan Malaysia lagi dan entahkan esok-esok, jersi mereka pula yang menjadi rebutan pemain-pemain kita.

Pada penghujung kedua-dua siaran pada malam minggu itu, tidak dapat dinafikan Harith Iskander – dengan pengalaman 25 tahunnya berlawak -- memang kelakar hingga tidak kering gusi dibuatnya.

Tetapi dengan keputusan 0-0 dengan Myanmar itu, Harimau Malaysia sebenarnya yang lebih komedi.

Maaf Harith, anda perlu berusaha dengan lebih keras lagi.

Gambar: Laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen