Demi keluarga, Mata potong gaji

Oleh Nafis Abdullah 24 June 2019 11612
Demi keluarga, Mata potong gaji
Teka-teki mengenai masa depan pemain tengah Manchester United, Juan Mata, di Old Trafford akhirnya terjawab setelah dia menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun.

Kontrak terkini Mata bakal tamat hujung bulan depan dan tatkala nama-nama tonggak senior United seperti Antonio Valencia dan Ander Herrera sah meninggalkan The Red Devils, Mata memilih untuk terus kekal.

Alasannya mudah. Mata dikhabarkan tidak mahu 'mencari masalah' untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru sekiranya berhijrah ke kelab lain dan faktor utama yang mempengaruhi langkah itu adalah keluarganya.



Bagaimanapun, apa yang menarik perhatian adalah kesediaan Mata untuk sanggup menerima pemotongan gaji di Old Trafford semata-mata untuk terus menyarung jersi merah United dan pemotongan yang diterima bukan 10 atau 20 peratus tetapi 25 peratus.

Sejak meninggalkan Stamford Bridge untuk berhijrah daripada Chelsea ke United lima tahun lalu ketika era David Moyes, Mata menerima bayaran sebanyak GBP180,000 seminggu (RM951,499) tetapi memandangkan dia terpaksa akur dengan usaha pengendali sekarang, Ole Gunnar Solskjaer, yang mula mengorak langkah memperbaiki purata usia dalam skuad, bekas produk akademi Real Oviedo itu tiada pilihan selain menerima pemotongan bayaran.



Pemotongan gaji sebanyak 25 peratus menyaksikan dia bakal dibayar GBP135,000 (RM713,624) seminggu sekurang-kurangnya sehingga 2021, sekali gus memadamkan spekulasi dia bakal pulang ke LaLiga untuk menyertai Barcelona atau bekas majikannya, Valencia.

Meskipun jarang diturunkan dalam kesebelasan utama, pemain berusia 31 tahun itu dilaporkan gembira dengan pembaharuan yang cuba dilakukan Solskjaer dalam skuad United.

Kehadiran pemain sayap muda, Daniel James, daripada Leeds United baru-baru ini dijangka akan membolehkan Mata kembali ke peranan asal, di mana dia lebih gemar beraksi di belakang penyerang berbanding sering beraksi di sebelah kanan sejak era Louis Van Gaal dan Jose Mourinho.

Tempoh lima tahun di Old Trafford menyaksikan Mata meraih tiga kejuaraan utama, termasuk Piala EFL dan trofi Liga Europa ketika musim 2016-17.



Dan sejak mula berkelana di England pada 2011, pemain dengan senjata kaki kiri itu sudah menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah dalam musim pertamanya bersama Chelsea.

Selaku pemenang Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa di peringkat kelab serta kejayaan menikmati Piala Dunia 2010 serta Euro 2012 bersama skuad kebangsaan Sepanyol, kesanggupan Mata untuk menerima pemotongan gaji demi kebaikan karier seharusnya menjadi contoh buat segenap pemain moden yang kebanyakannya lebih mengutamakan faktor wang berbanding perkembangan karier sendiri.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen