David De Gea yang kuat semangat

Oleh Suzana Basri 12 May 2018 3129
David De Gea yang kuat semangat
Tujuh tahun selepas menyarung jersi Manchester United, David De Gea akhirnya berpeluang  tersenarai sebagai penerima Sarung Tangan Emas selepas merekod  aksi ke-18 tanpa bolos di Stadium London, semalam.
 
Kejayaan pemuda Sepanyol berusia 27 tahun ini mungkin tidak sehebat Petr Cech yang muncul penerima pertama anugerah ini ketika diperkenalkan pada musim 2004/ 2005 iaitu 24 aksi tanpa bolos bersama Chelsea, tetapi ia cukup untuk meninggalkan pencabar terdekat dari Manchester City, Ederson yang merekod 16 aksi tanpa bolos berbaki satu perlawanan sebelum musim 2017/ 2018 menutup tirai pada Ahad.
 
Bakat De Gea digilap Atletico Madrid pada usia 13 tahun dan kontrak profesional pertamanya ditandatangani ketika berusia 17 tahun. Peluang untuk De Gea beraksi bersama skuad senior hadir apabila penjaga gol utama, Sergio Asenjo mengikuti tugasan skuad kebangsaan pada Piala Dunia bawah 20 tahun pada 2009, namun ia bukan pengalaman manis apabila Atletico Madrid tewas 2-0 kepada Porto di saingan kumpulan Liga Juara Juara Eropah.
 
Peluang yang sekali lagi hadir menerusi Asenjo kemudiannya enggan disia-siakan De Gea apabila menamatkan musim 2009/ 2010 La Liga sebagai penjaga gol pertama dan membantu pasukan memenangi Liga Eropah dan Piala Super. De Gea mencuri tumpuan pada Derbi Madrid apabila mendapat pujian penjaga gol handalan Real Madrid, Iker Casillas yang ketika itu meramalkan De Gea akan menggantikannya dalam skuad kebangsaan Sepanyol.
 
Sepanyol sememangnya mempunyai ramai penjaga gawang berbakat. Ini termasuklah Pepe Reina yang pernah dipuncak kegemilangan ketika menjadi benteng terakhir Liverpool. Reina yang kini menyertai Napoli muncul pemain pertama meraih Sarung Tangan Emas sebanyak 3 kali berturut-turut bermula musim 2005/ 2006.
 
Pada kejohanan Piala Dunia Rusia 2018 Jun nanti,  Reina masih berpeluang menyumbang keringat buat Sepanyol, bersama-sama De Gea yang tersenarai buat kali kedua ke pentas berprestij ini. Kali pertama di Brazil, De Gea tampil sebagai pilihan ketiga tetapi muncul satu-satunya pemain yang tidak sempat diturunkan apabila mereka tersingkir seawal peringkat kumpulan.

Kekecewaan yang ditebus De Gea di Euro 2016 juga pastinya belum cukup, namun mungkin peluangnya untuk beraksi buat negara kelahiran lebih cerah dengan persaraan Casillas yang diisi pemain muda Athletic Bilbao, Kepa Arrizabalaga.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen