Daripada ‘bajingan’ kepada lima perspektif berbeza

Oleh Rizal Hashim 21 January 2018 219
Daripada ‘bajingan’ kepada lima perspektif berbeza
Bekas Pengarang Urusan Astro Arena, Dez Corkhill, berpesan kepada penulis: “Saya mahu anda menjadi bajingan dalam program ini.”

Corkhill merujuk kepada program Dengan Izin yang disusun agar bersifat “hard talk” atau terus terang dengan soalan-soalan yang keras dan kadangkala kasar membabitkan seorang pengacara dan seorang tetamu.

Ia satu cabaran yang besar dalam menampilkan sesuatu yang berbeza dan berlawanan dengan adab Melayu serta jarang-jarang tersiar dalam kaca televisyen.

Dengan Izin adalah cetusan ilham penerbit, Slamet Sazly Yakub, hasil perbincangan dengan penulis.

Slamet juga mewujudkan Kafe Sukan – program yang membincangkan isu semasa dengan tetamu yang relevan, menampilkan Akbar Sahari sebagai teraju manakala penulis blogger yang berkongsi topik menerusi blog dan media sosial. Kafe Sukan bertahan dari Mac 2010 hingga April 2016.

Apabila Kafe Sukan dilihat banyak mengundang tetamu untuk tujuan promosi pada awal penerbitannya, khususnya pada segmen terakhir, penulis mencadangkan kepada Slamet untuk mewujudkan program khas bagi menguar-uarkan sebarang kegiatan atau acara sukan sama ada anjuran individu atau swasta. Sudahnya terhasillah Forum.

Dengan Izin bertahan enam musim – bermula dengan Datuk Razif Sidek sebagai tetamu sulung pada April 2011 dan disudahi dengan Datuk Ong Kim Swee pada Disember 2016.

Di celah-celah cercaan dan maklum balas positif serta negatif daripada penonton, penulis berasa penat dengan tuntutan mencari dan mengundang tetamu serta menyediakan isu dan soalan-soalannya. Dengan Izin, ringkasnya, adalah program milik penulis.

Di antara 2013 dan 2015, penulis mencadangkan kepada Slamet, selaku penyelia penulis, untuk menghentikan Dengan Izin.

Ini kerana bukanlah mudah mencari tetamu dalam program yang kontroversi serta tidak memberi ruang dan masa untuk mereka menjawab. 

Empat tokoh – Sultan Ahmad Shah, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Datuk Seri Zolkples Embong dan Datuk K. Rajagobal – menolak pelawaan atas sebab-sebab tersendiri.

Bagi menggantikan Dengan Izin, penulis mencadangkan antara lain satu program berbentuk sidang parlimen, dengan dihadiri penonton ataupun program berbentuk debat membabitkan dua pihak dengan seorang moderator. 

Penulis bahkan mencadangkan tajuknya sekali -- Perang Mulut. Slamet juga melontarkan idea seorang VVIP untuk menjadi moderator. 

Slamet seperti biasa akan memperhalusi cadangan penulis dan memperbaikinya sehingga ia menjadi satu realiti. 

Maka terhasillah Sidang Sukan – program bahas tanpa moderator.

Siaran sulung Sidang Sukan pada 15 Januari lalu membabitkan Zainal Abidin Rawop, Wan Nor Bazly Wan Azmi, Intan Nor Saina Fazilawati Md Sani, Edleen Ismawany Mohamed Ismail dan penulis melengkapkan lima panelis pertama dengan lima perspektif berbeza.

Membabitkan seramai mungkin pengacara, pengulas, penyampai dan wartawan Astro Arena, Sidang Sukan berbeza dengan mana-mana program yang pernah penulis lalui.

Selain ‘mock run’ yang dibuat tiga kali sambil dipantau Pengarang Urusan, Majalah dan Berita Astro Arena, Ahmad Khawari Isa, diiringi Slamet, Sidang Sukan menghidangkan cabaran berlainan dimensi.

Ia memberi peluang kepada lima panelis membentangkan isu masing-masing lalu mempertahankan hujah mereka. 

Risikonya besar – pembentang berdepan kemungkinan diserang empat panelis lain atau dipatahkan hujah dengan alasan-alasan jauh lebih kukuh.

Panelis bukan sahaja kena ada serba sedikit kemahiran berkomunikasi sambil mematahkan hujah, bahkan ada dalam kalangan lima individu itu harus menjadi emosional, sengaja mencetuskan tuduhan atau sekadar menyatakan sokongan atau bantahan berserta alasan masing-masing.

Kelima-limanya bersetuju untuk tidak bersetuju. Dalam kerancakan membicarakan retorik, kadangkala kami tidak terlepas daripada kesilapan atau memberi alasan kurang logik. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan.

Dalam analisis akhir, setiap program televisyen harus ada unsur hiburan biarpun untuk saluran sukan.

Sama ada berperanan selaku tukang blog yang membaca maklum balas penonton, bajingan yang dibenci ramai hingga kepada panelis Sidang Sukan yang matang, penulis sentiasa belajar dan belajar.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen