Dari Sarri-ball ke Sarri-bala

Oleh Ammar Hakim 13 February 2019 3064
Dari Sarri-ball ke Sarri-bala
Chelsea dikejutkan dan diaibkan ketika mengalami kekalahan terbesar buat kali pertama sejak tewas 7-0 kepada Nottingham Forest pada April 1991. Barisan pemain seakan-akan bingung di atas padang sementara Maurizio Sarri kelihatan tidak mampu untuk melakukan apa-apa ketika tewas 6-0 kepada Manchester City kelmarin.

City mempamerkan persembahan penuh bergaya, meledak empat jaringan dalam tempoh 25 minit. Aksi mantap itu merupakan pesanan buat setiap pencabar Liga Perdana Inggeris (EPL).

Chelsea kini turun ke tangga keenam EPL walaupun hanya dipisahkan dengan satu mata daripada kelompok empat terbaik. Persembahan hambar Chelsea di laman lawan merupakan punca di sebalik kemerosotan mereka.

Pengendali Chelsea, Sarri, terus mempertahankan taktikal 'Sarriball' serta enggan melakukan 'pelan B' jika perancangannya tidak menjadi. Beliau bertegas dengan corak permainannya serta falsafah yang dibawa sejak membimbing Napoli. Namun, kepelbagaian dalam permainan merupakan apa yang diperlukan Chelsea ketika ini.

Pemain-pemain Chelsea tidak memiliki sebarang jawapan ketika tewas kepada Bournemouth (4-0) dan City dalam saingan EPL. Kekal dengan corak permainan yang sama walaupun ia sudah dibaca pasukan lawan, taktikal Chelsea mudah dijangka.

Pengurus-pengurus seperti Pep Guardiola dan Jurgen Klopp kekal dengan corak permainan yang diketengahkan tetapi diberikan masa untuk menyesuaikan diri dengan saingan EPL. Sarri seharusnya mengambil pengajaran dan menghadirkan kepelbagaian dalam taktikalnya, terutama ketika berdepan lawan yang sukar.

The Blues bolos 29 gol dalam saingan EPL musim ini, kurang jika dibandingkan dengan Arsenal dan Manchester United, tetapi persembahan barisan pertahanannya yang kurang meyakinkan digambarkan menerusi keputusan perlawanan.

Permainan bertahan yang kurang cemerlang terbukti ketika bertemu City, dengan tandukan Ross Barkley menjadi punca salah satu jaringan Sergio Aguero sementara kelemahan Marcos Alonso terserlah di Stadium Etihad.

Perkara paling penting buat Sarri sebelum perlawanan seterusnya adalah kembali memperkukuhkan barisan pertahanan sebagai bekalan hingga penghujung musim ini. 

Chelsea dijangka tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan dalam Liga Europa berdepan Malmo dan kemudian dihadirkan kesempatan bertemu Manchester City dalam final Piala Carabao untuk memadam kekalahan yang mengecewakan ini.

Di bawah bimbingan Sarri, corak permainan Napoli merupakan sesuatu yang menarik ditonton. Tetapi persembahan kurang konsisten Chelsea menyerlahkan ia masih lagi tercari-cari jalan untuk menyesuaikan diri dengan gaya permainan ini. Walaupun kelancaran ketika menyerang dapat dilihat, ia tercipta menerusi gerakan bintang Belgium, Eden Hazard.

Kelibat Hazard dalam skuad Chelsea bagaikan permata buat Sarri, 12 gol dan 10 bantuan jaringan untuk saingan EPL, sering kali turun selaku penyerang utama ketika bergandingan dengan  Willian, Olivier Giroud dan Alvaro Morata. Morata kini dipinjamkan ke Atletico Madrid bulan lalu untuk memberikan ruang buat Gonzalo Higuain, namun skuad ini masih belum mencabar dua pasukan teratas EPL.

Sebelum taktikal Sarri-ball ini tidak lagi dipandang, Sarri perlu melakukan perubahan -- jika beliau berminat meneruskan saingan musim depan.

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen