Cukuplah 20 tahun!

Oleh Edleen Ismail 15 November 2017 171
Cukuplah 20 tahun!
Memulakan karier profesional bersama skuad utama Parma pada 1995, individu ini tidak menoleh ke belakang lagi malah prestasinya terus meningkat dari masa ke semasa. Berhijrah ke Juventus pada 2001, kesetiaannya bersama skuad ‘The Old Lady’ tidak boleh dipertikaikan apabila masih lagi beraksi sehingga sekarang.
 
Individu yang dimaksudkan ialah Gianluigi Buffon. Lebih selesa disapa dengan panggilan “Gigi’ di kalangan teman rapat, Buffon merupakan salah satu babak penting dalam cerita bola sepak Itali sama ada di peringkat kelab atau negara.
 
Mula mewakili Itali pada 1997, posisi penjaga gawang kekal miliknya selama 20 tahun. Pelbagai kenangan pahit manis dilalui bersama skuad Itali. Namun dua peristiwa  yang paling diingati penulis adalah peristiwa hitam tumbang kepada Korea Selatan pada Piala Dunia 2002, dan kemudian bagaimana mereka bangkit untuk muncul juara Piala Dunia 2006 di Jerman.
 
Buffon merupakan salah seorang pemain pada 2006 dimana pada waktu itu Fabio Cannavaro adalah ketua pasukan Azzuri yang seterusnya muncul pemain pertahanan pertama memenangi anugerah Ballon  D’or.
 
Namun kegembiraan muncul juara Piala Dunia buat Buffon dipalit dengan skandal rasuah skuad Juventus dimana mereka terpaksa beraksi di Serie B pada 2006. Ketika ramai pihak beranggapan Buffon akan berhijrah ke kelab lain, beliau sebaliknya kekal setia bersama Juventus dan seterusnya muncul juara Serie B untuk kembali bersaing di liga utama.
 
Jika mahu dicoretkan satu persatu, terlalu banyak anugerah yang pernah digapai oleh Buffon sepanjang 22 tahun bermain secara professional dan 20 tahun bersama skuad Itali. Namun langit tidak selalu cerah, disebalik pencapaian hebat beliau, hakikatnya Buffon belum pernah menggapai kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah biarpun beraksi di pentas final sebanyak tiga kali. Pengakhirannya bersama skuad Azzuri juga suram apabila perlawanan terakhirnya adalah hari di mana Itali tidak layak beraksi di Piala Dunia 2018.
 
Walau bagaimanapun pengakhiran perjalanan karier beliau, penulis mahu berterima kasih kepada Gianluigi Buffon kerana ‘watak’ beliau selama 20 tahun dalam arena bola sepak antarabangsa yang banyak memberikan impak positif. Sifat kepimpinan, semangat juang yang dipamer, selain sifat peribadi selaku ‘role model’ yang ditunjukkan, bukan sahaja menjadi teladan kepada pemain lain, malahan juga setiap peminat bola sepak.
 
Terima kasih Gianluigi Buffon!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen