Cukup-cukuplah Mourinho dengkikan kejayaan City ​

Oleh Hafizal Hamad 1 May 2018 3252
Cukup-cukuplah Mourinho dengkikan kejayaan City ​
Sama ada atas dasar iri hati atau helah mempertahankan diri, Jose Mourinho harus tidak
lengkap jika tidak mempertikaikan kejayaan City musim ini.


Dalam kontroversi terbarunya, pengurus Manchester United itu berkata kemaraan musuh
setempat, City, ke arah kejuaraan liga, dicapai dengan “majoriti” pemainnya sudah pernah
memenangi trofi berkenaan di bawah pengurusan Roberto Mancini dan Manuel Pellegrini.

Di sebalik hujahnya dipertahan bukan bertujuan memperkecil pencapaian Pep Guardiola tetapi
untuk menunjukkan hakikat City berkelebihan ke atas United dari awal musim ini lagi, malangnya dakwaan Mourinho itu ternyata silap.

Harus tidak ramai yang akan mempertikaikan bahawa Guardiola mewarisi sebuah skuad yang
lebih ampuh dibandingkan barisan yang diambil alih oleh Mourinho daripada Louis van Gaal.

Tetapi penilaian Mourinho itu mengetepikan rombakan besar-besaran lagi pintar yang
dilakukan rakan sejawatannya itu.

Selain itu, seperti ditonjolkan oleh Guardiola selepas kemenangan 4-1 ke atas West Ham, Ahad
lalu: “Buat 20 pemain dalam skuad kami, ini baru kali pertama mereka menjuarai Liga Perdana.

“Kami bukanlah sebuah pasukan dengan lapan atau sembilan atau 10 pemain dari masa lalu
yang tahu secara tepat apa yang harus mereka lakukan untuk memenangi Liga Perdana,”
katanya seperti dilaporkan akhbar Manchester Evening Standard.

Malah, hanya lima pemain City musim ini adalah tonggak veteran daripada kejuaraan masa lalu
mereka -- Vincent Kompany, Yaya Toure, David Silva, Fernandinho dan Sergio Aguero.



Daripada senarai pendek itu pula, Kompany memulakan hanya sembilan perlawanan sebelum
tahun baru dengan rentetan kecederaannya sambil Toure belum memulakan sebarang
perlawanan dalam liga.

Bernardo Silva, Benjamin Mendy, Gabriel Jesus, Ilkay Gundogan, Danilo, Claudio Bravo dan
Ederson kesemuanya tiba di Stadium Etihad sepanjang dua musim panas lalu, dengan kejuaraan
liga bersama kelab terdahulu masing-masing.

Tidak syak lagi, mereka semua telah memainkan peranan dalam mewujudkan mentaliti
kemenangan dalam kalangan pemain seperti Leroy Sane, Raheem Sterling, Kevin de Bruyne,
Kyle Walker dan John Stones.

Dengan purata usia 26 tahun, Guardiola telah menghimpunkan sebuah skuad yang jauh
daripada menghampiri kemuncaknya, namun jauh mengatasi pencabar-pencabarnya.

Ia harus satu prospek menakutkan buat mana-mana pasukan yang berharap untuk
menggulingkan City musim depan – Mourinho dan barisan United kendaliannya turut tidak
terkecuali.

“Anda tidak boleh melupakan bahawa majoriti pemain mereka yang tampil juara musim ini
adalah juara pada masa lalu,” ujar Mourinho. “Kompany bukan penambahan baru. Silva bukan
penambahan baru. Aguero bukan penambahan baru.

“Mereka adalah teras bagi pemain-pemain. Mereka adalah juara bersama (Roberto) Mancini,
mereka adalah juara bersama (Manuel) Pellegrini, mereka adalah juara bersama Pep… jadi
kelab itu sudah bersedia.

“Saya fikir ia adalah kesinambungan semulajadi. Anda memiliki pemain-pemain yang pernah
tampil juara di Manchester City bersama tiga pengurus dalam tiga tempoh berbeza,” kata
Mourinho.

Di sebalik ada sedikit kebenaran dalam hujahnya itu, patut juga diutarakan bahawa Mourinho
mewarisi enam pemain -- David de Gea, Phil Jones, Chris Smalling, Antonio Valencia, Ashley
Young dan Michael Carrick -- di bawah pengurusan Sir Alex Ferguson sebelumnya.

Tetapi, United tetap tidak muncul juara.

Jadi, apa masalahnya Jose?

Tidak cukupkah berbelanja lebih £300 juta (RM1.62 bilion)?

Ataupun andakah masalahnya?

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen