Cristiano pulang ke Madrid

Oleh Intan Nor Saina 21 January 2019 40893
Cristiano pulang ke Madrid
Selepas berhijrah ke Serie A untuk menyertai Juventus, penyerang berusia 34 tahun, Cristiano Ronaldo, dijadualkan pulang ke Madrid pada Selasa. Kepulangannya ke Madrid bukanlah untuk menyertai mana-mana pasukan lain, tetapi adalah untuk menghadiri sidang perbicaraan yang melibatkan dirinya. Ronaldo telah didakwa oleh kerajaan Sepanyol mengenai penipuan cukai semasa beliau beraksi bersama skuad Real Madrid. Mengikut pertuduhan, Ronaldo boleh dipenjara selama 24 bulan selain perlu membayar denda jika dia didapati bersalah.

Sebelum berangkat, beliau terlebih dahulu bakal turun membantu Juventus menentang Chievo pada Isnin sebelum bergegas ke Madrid untuk menghadapi perbicaraan tersebut.

Namun, laporan media tempatan mengatakan bahawa pemain terbaik dunia lima kali itu bakal terlepas hukuman penjara apabila beliau bersetuju untuk membayar denda yang telah ditetapkan dan juga memandangkan kesalahan yang dilakukannya itu adalah kali pertama.

Ronaldo dijangka akan mengaku bersalah dalam perbicaraan tersebut selepas dia bersetuju untuk membuat pembayaran cukai berjumlah $21.43 juta (RM88.13 juta) dan melangsaikan denda berjumlah €5.7juta (RM26.66 juta) kepada pihak berkuasa Sepanyol.

Perbicaraan itu pada mulanya dijadualkan pada hari Isnin tetapi ditunda pada hari yang berikutnya. Ronaldo hanya perlu mengesahkan perjanjian yang telah dibuat bagi membolehkan dia terlepas sebarang hukuman yang dikenakan keatasnya. Ia dijangka dapat selesai dalam masa singkat dan keputusan perbicaraan akan diketahui pada hari yang sama.

Sebelum ini Lionel Messi, Alexis Sanchez dan Xabi Alonso juga pernah didakwa atas kesalahan yang sama.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen