Conte Masih Kebal

Oleh 9 February 2018 2073
Conte Masih Kebal
Rentetan kekalahan demi kekalahan yang dialami The Blues pada tahun 2018 membuatkan banyak pihak beranggapan bahawa jodoh Antonio Conte dan Chelsea akan berakhir dalam masa terdekat.

Ia berikutan sikap pemilik kelab, Roman Abramovich, yang gemar memecat jurulatih sedia ada apabila berlakunya kejatuhan prestasi. Tambahan pula, nama Conte turut disenarai pendek untuk menjadi jurulatih kebangsaan Itali baru-baru ini, sekaligus menguatkan spekulasi bahawa Conte akan meninggalkan Chelsea.

Bagaimanapun, senario berbeza pada kali ini apabila Abramovich memberikan jaminan bahawa Conte tidak akan dipecat dalam masa terdekat. Walaupun bolos tujuh gol dalam pertemuan berdepan Bournemouth dan Watford yang menyaksikan mereka ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City, khidmat Conte dijangka masih ditagih dalam perlawanan berdepan West Bromwich Albion, hujung minggu ini.

Penulis secara peribadi merasakan prestasi Chelsea merudum apabila pihak pengurusan gagal mendapatkan pemain baru yang diinginkan Conte sewaktu jendela perpindahan dibuka pada Januari. 

Kecederaan yang menimpa Alvaro Morata pula secara tidak langsung menambah masalah Chelsea di bahagian serangan. Biarpun membeli beberapa pemain seperti Olivier Giroud dan Ross Barkley, masalah ketumpulan jentera serangan mereka masih belum dapat diselesaikan.

Penulis juga percaya khidmat Conte masih diperlukan apabila Chelsea bakal berdepan pasukan hebat seperti Barcelona, Manchester United dan Manchester City pada penghujung Februari dan awal Mac. 

Pemecatan Conte sekarang hanya akan memburukkan lagi persiapan Chelsea berdepan pasukan handalan nanti.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen