Conte hitung durian runtuh andai dipecat

Oleh Shaukei Kahar 24 May 2018 5566
Conte hitung durian runtuh andai dipecat
Terbuai-buai oleh jangkaan pampasan sebanyak £9 juta (RM48 juta) andai dipecat Chelsea, Antonio Conte berura-ura mengambil rehat setahun daripada bola sepak untuk menikmati hasil kekayaan terbarunya.

Di sebalik menghadiahkan The Blues Piala FA ihsan kemenangan 1-0 ke atas Manchester United di Wembley, Ahad lalu, ia tidak dijangka mampu menghindarkan pengurus berusia 48 itu daripada pemecatan.

Sedari awal, Conte sudah menegaskan dia tidak akan meletakkan jawatan sekalipun musim yang baru berakhir ini disimpulkan sebagai hambar buat Chelsea yang berkesudahan di tangga kelima dan menidakkan mereka slot Liga Juara-Juara musim depan.

Kerana dia tahu pemecatannya – jika disahkan oleh lembaga pengarah Chelsea – akan mengikat kelab itu untuk membayarnya pampasan besar ketika kontraknya masih berbaki setahun lagi.
 
Akhbar Daily Telegraph melaporkan pemilik kelab, Roman Abramovich, tidak dapat mengelak daripada membayar pengurus itu kira-kira £9 juta jika mahu menggantikan Conte dengan pengurus lain. 

Pada masa yang sama, Chelsea berharap untuk mengelakkan pampasan dengan menawarkan Conte peranan lain bersama kelab itu pada musim panas ini tetapi pilihan buat kelab itu juga sebenarnya semakin terbatas.

Malang buat Conte kerana peluang yang tinggal buatnya untuk menyertai kelab lain juga semakin luput.

Andai dia sebelumnya berura-ura untuk menggantikan Unai Emery di Paris Saint-Germain (PSG), kekosongan itu sudah pun diisi oleh Thomas Tuchel. 

Seperti Emery yang sudahpun disahkan selaku pengurus baru Arsenal, Max Allegri yang sebelumnya turut berharap untuk ke Emirates, kelihatan akan kekal di Juventus sambil Roberto Mancini juga sudah secara rasminya diperkenalkan sebagai pengurus skuad kebangsaan Itali.

Juga tidak akan wujud ruang buat Conte di Inter Milan selepas Luciano Spalletti mengemudi kelab itu ke Liga Juara-Juara musim depan manakala Carlo Ancelotti mungkin mengambil alih di  Napoli daripada Maurizio Sarri, yang turut disebut-sebut antara calon untuk dilantik Chelsea.

Mengikut percaturannya, jika Conte tidak bekerja sehingga musim panas 2019, The Blues perlu membayarnya baki 12 bulan kontraknya.

Menumpang untung nasibnya, staf kejurulatihan Conte di Chelsea juga akan meraih pampasan jika dia dipecat.

Bagaimanapun, jurulatih penjaga gol, Gianluca Spinelli, dikhabarkan tidak bersedia mengikut langkah Conte untuk meninggalkan Chelsea, sebaliknya sedia meneruskan khidmat menggilap bakat Thibaut Courtois di Stamford Bridge.

Mungkin tidak bagi Chelsea tapi buat Conte, 2017/18 akan tercatat sebagai satu musim yang lumayan.

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen