Conte enigma dalam bola sepak Inggeris

Oleh Shaukei Kahar 21 May 2018 607
Conte enigma dalam bola sepak Inggeris
Piala FA yang dimenangi Chelsea awal pagi semalam harus memadai untuk menjadi insurans hayat pengurus, Antonio Conte, menghabiskan baki kontrak setahunnya di Stamford Bridge tetapi ia tidak semestinya demikian.

Di tengah-tengah sorak-sorai penyokong yang menuntut agar pakar taktikal Itali itu dikekalkan, anehnya Conte sendiri berasakan dia semakin hampir ditunjukkan pintu keluar.

Rekod Conte dalam dua musim selaku pengendali The Blues adalah satu trofi juara Liga Perdana Inggeris (EPL) dan satu trofi Piala FA, dengan yang terbaru itu diraih hasil sepakan penalti Eden Hazard di Wembley awal pagi semalam.

Rekod itu sebenarnya lebih daripada sekadar dihormati – malah, ia mengatasi pencapaian kebanyakan pengurus yang lain.

Dalam pada itu, ia mungkin tidak cukup untuk mengekalkan kedudukan pengurus berusia 48 tahun itu  apabila analisis akhir dibuat lembaga pengarah kelab itu terhadap semusim yang tidak menentu di Stamford Bridge.

Andai mahu disimpulkan, kejayaan menjuarai Piala FA itu sarat dengan ciri-ciri yang boleh dikaitkan dengan Conte sejak ketibaannya di England pada penghujung tempohnya mengemudi skuad kebangsaan Itali dalam Euro 2016.

Dalam pada mereka mempertahankan kelebihan daripada sepakan penalti Hazard itu, The Blues jelas amat padu, tersusun dan ampuh menuju kepada kemenangannya dalam final Piala FA yang rata-rata dianggap mengecewakan kalaupun tidak membosankan.

Apa yang harus lebih manis, dia telah melakukan kepada musuh ketatnya, Jose Mourinho, apa yang pengurus Manchester United itu telah lakukan kepada kebanyakan yang lain – istilah yang sinonim dengan meletakkan bas di depan pintu gol sendiri -- dengan gaya yang sama.

Begitupun, Conte masih berhadapan dengan pemecatan, sama seperti mereka yang terdahulu daripadanya, termasuk Mourinho, daripada sebuah kelab yang berkisar kepada perubahan dan pertukaran sepanjang masa.

Kerana kejayaan Chelsea menjulang Piala FA tidak lebih sekadar satu lapisan pengilat bagi menutupi satu musim yang hambar buat mereka selaku juara bertahan EPL yang disudahi dengan kegagalan menempatkan diri dalam kelompok empat teratas – tambahan pula cita-cita besarnya untuk mara jauh dalam kempen Liga Juara-Juara disekat oleh Barcelona seawal pusingan 16 lagi.

Di sebalik Conte kekal popular dalam kalangan penyokong Chelsea, namun penyokong bukanlah kata pemutus dalam kelangsungan seseorang pengurus di Stamford Bridge.

Pada ketika ini, Conte percaya dia menghampiri hari-hari terakhirnya bergelar pengurus Chelsea – seperti ungkapannya sendiri, “seorang pemenang bersiri” --  melainkan ada sesuatu yang luar biasa yang akan berlaku kali ini.

(BERSAMBUNG)
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen